PARIT SULONG, 8 Mac: Calon Perikatan Nasional bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah berikrar memperjuangkan 10 item tambahan untuk ditawarkan kepada pengundi kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, pada 12 Mac ini.
Datuk Ariss Samsudin berkata, di samping Ikrar Perikatan Nasional untuk Bangsa Johor, beliau memperjuangkan mengenai keagamaan, infrastruktur, pendidikan, kesihatan, sosioekonomi, keusahawanan selain kesejahteraan wanita, generasi muda, pasukan beruniform dan kesejahteraan komuniti.
“Perkara tambahan ini selaras kedudukan DUN Semerah yang majoriti penduduknya tinggal di luar bandar,” katanya dalam kenyataan media selepas melancarkan ikrar beliau di sini.
Untuk item keagamaan, beliau akan memperjuangkan pembinaan sekolah agama, surau dan masjid; menaikkan taraf keselesaan sekolah agama, surau dan masjid; serta memesatkan proses pendidikan Islam secara tidak formal yang dikendalikan tenaga pengajar terlatih dan berwibawa, selaras dengan dasar keagamaan Kerajaan Negeri Johor.
Bagi item infrastruktur, ia berkaitan inisiatif pembinaan sebuah jambatan baharu merentasi Sungai Simpang Kiri untuk menghubungkan Jalan Parit Jalil dengan Jalan Parit Sulong-Simpang Lima iaitu dari Kampung Sungai Nipah menuju ke Seri Sulong.
“Selain kelancaran penghubungan, projek ini akan memberikan limpahan sosioekonomi kepada gugusan kampung di kedua-dua kawasan sekali gus akan mencipta lebih banyak lagi kegiatan ekonomi dan peluang pekerjaan kepada generasi muda di situ,” katanya.
Item ketiga adalah memperjuangkan pembinaan Kolej Komuniti yang telah dipohon oleh rakyat setempat sejak tahun 2000 di lokasi berhadapan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Batu Pahat dan berhampiran Kawasan Perindustrian Seri Sulong.
Selaras aspirasi tersebut, Ariss juga akan diperjuangkan pembinaan pusat tuisyen komuniti bagi murid sekolah rendah dan pelajar Sekolah Menengah di DUN Semerah.
“Bagi item kesihatan, saya akan memperjuangkan pembinaan Pusat Kesihatan Kecil di dua lokasi khusus yang sudah dikenal pasti oleh Perikatan Nasional Parit Sulong dalam DUN Semerah,” katanya.
Menurutnya, penduduk DUN Semerah turut cergas dalam perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan mereka akan didedahkan dengan penguasaan perniagaan dalam talian yang selari dengan kaedah pemasaran dan dasar digitalisasi negara.
“Saya juga melihat keperluan pembinaan sebuah Kompleks Perniagaan MARA berhampiran Kawasan Perindustrian Seri Sulong sebagai satu hub baharu kepada usaha memperkasakan kumpulan peniaga Bumiputera di DUN Semerah,” katanya.
Bagi memperkasakan pertumbuhan sosioekonomi petani dan nelayan di DUN Semerah, inisiatif akan dilakukan antaranya menerusi pelbagai skim serta program bantuan modal, kelengkapan dan lain-lainnya.
Ariss berkata, komuniti usahawan termasuk dalam bidang PMKS juga akan dibangunkan dan mereka diberi bimbingan asas mengenai ilmu perniagaan dan pengurusan perniagaan selain kaedah mendapatkan sumber modal perniagaan serta pengembangan pasaran.
“Saya juga akan menggesa pemilik kilang untuk menambahkan tenaga pengurusannya daripada kumpulan wanita selain membina dan memperkasakan kelompok usahawan wanita dalam PMKS serta memguasai perniagaan dalam talian,” katanya.
Dalam memperjuangkan kesejahteraan generasi muda, penciptaan lebih banyak peluang pekerjaan di kawasan industri setempat akan dipertingkatkan. Selain itu, penyediaan pusat riadah seperti stadium mini di sekitar Kawasan Perindustrian Seri Sulong.
“Pembinaan Pusat Komuniti dan kawasan perumahan kos rendah dan sederhana bagi generasi muda dalam DUN Semerah yang baharu mendirikan rumah tangga juga dalam perhatian kami,” katanya.
“Untuk kesejahteraan anggota dan keluarga pasukan keselamatan, khususnya Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di DUN Semerah, saya akan memperjuangkan pembinaan kuarters berkelompok bagi anggota PDRM di lokasi berhampiran Kawasan Perindustrian Seri Sulong,” katanya.
Berhubung item keselamatan komuniti, Ariss akan memberi tumpuan kepada usaha membanteras penagihan dadah di kalangan generasi muda selain menghapuskan ancaman binatang liar seperti babi hutan, monyet dan anjing yang mengancam nyawa penduduk setempat serta kemusnahan tanaman serta ternakan bernilai jutaan ringgit setiap tahun.
#DemiBangsaJohor