ISKANDAR PUTERI, 18 Nov: Agenda khas diwujudkan dalam Belanjawan Johor 2022 bagi memacu dan merancakkan semula sektor pelancongan di negeri ini menerusi beberapa inisiatif yang dikenalpasti.
Agenda ketujuh dinamakan Majestic Johor itu untuk memperkasakan sektor pelancongan dan mempertingkatkan promosi produk pelancongan berpotensi menerusi peruntukan RM4 juta sebagai insentif khas kepada penggiat industri pelancongan.
Antara penerima insentif khas ini ialah 207 operator hotel bajet dengan peruntukan sebanyak RM414,000, seramai 232 operator chalet dan resort dengan peruntukan RM233,000 dan 186 agensi pelancongan dengan peruntukan RM372,000.
Menteri Besar, Dato’ Ir Hasni Mohammad berkata, penggiat lain yang mendapat faedah ialah 621 pemandu pelancong dengan peruntukan RM621,000 serta 82 pengusaha bot pelancong dengan peruntukan RM82,000.
Tambahan, bantuan sejumlah RM320,000 diperuntukkan untuk persatuan pelancongan di Negeri Johor dan RM100,000 sebagai insentif bagi business events yang berlangsung di Negeri Johor.
Beliau berkata, bagi merangsang lagi sektor pelancongan negeri, Baucar Pelancongan Johor dengan jumlah peruntukan RM1.5 juta telah disediakan oleh Kerajaan Negeri. Ini akan memberi manfaat kepada lebih 15,000 pelancong yang berhasrat melancong ke negeri ini.
Dalam usaha untuk membuka semula sektor pelancongan Negeri Johor, keselamatan pelancong harus diberi keutamaan. Justeru, inisiatif Majestic Johor Safe (MJS) akan diperkenalkan untuk menambah keyakinan pelancong untuk melawat negeri Johor dengan peruntukan RM500,000.
“Pasukan petugas juga akan ditubuhkan bagi melakukan pemeriksaan ke atas pemandu pelancong dua kali setahun untuk memastikan pematuhan terhadap SOP,” katanya.
Hasni turut menyatakan tindakan menaik taraf infrastruktur dan aktiviti pemasaran pelancongan apabila kerajaan negeri akan menaik taraf ibu pejabat Tourism Johor dengan pembinaan Galeri Johor Tourism Information Centre (JOTIC) dengan jumlah peruntukan RM400,000.
Sebagai tambahan, RM2 juta telah diperuntukan untuk memperhebatkan promosi Majestic Johor di peringkat domestik dan antarabangsa. Peruntukan ini bertujuan memasarkan keindahan dan tarikan pelancong di Negeri Johor kepada pelancong.
Antara inisiatif promosi yang akan dilaksanakan ialah penganjuran Majestic Johor Signature Events akan diteruskan untuk merancakkan lagi aktiviti pelancongan dengan peruntukan RM2.7 juta meliputi Desaru International Bike Week, Kembara Mahkota Johor, acara tinju, Tunku Laksamana Charity Golf, Festival Bangsa Johor serta Festival Kesenian dan Kebudayaan Negeri Johor.