JOHOR BAHRU, 22 Feb: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengumumkan tarikh permulaan kuatkuasa Akta Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2022 [Akta A1644] pada hari ini.
Menterinya, Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkata, Akta A1644 telah mendapat perkenan Diraja pada 19 Januari dan dimasukkan dalam Warta pada 25 Januari 2022 yang lalu.
Menurutnya, secara keseluruhan terdapat 17 peruntukan dipinda dengan penambahbaikan yang melibatkan pindaan perkara tertentu.
“Pindaan kepada tafsiran pemerdagangan orang dan pemansuhan tafsiran paksaan. Peningkatan hukuman penjara dan pengenaan hukuman sebatan.
“Peruntukan kesalahan yang lebih berat termasuk melibatkan penjawat awam. Pewujudan kuasa menteri dalam pelantikan mana-mana pegawai awam sebagai penguatkuasa di bawah Akta 670.
“Penambahan keanggotaan organisasi lain dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran. Dan, peluasan peranan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam pengurusan dan kawasan pegawai pelindung serta rumah perlindungan mangsa pemerdagangan orang,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Hamzah berkata, Akta A1644 itu dihasratkan mampu memberi solusi terbaik dalam menzahirkan usaha Malaysia dalam menangani jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran dengan lebih efektif.
Katanya, pendekatan menyeluruh Kerajaan dan pendekatan menyeluruh masyarakat yang digunakan diyakini boleh menambah baik kedudukan Malaysia dalam sebarang penilaian antarabangsa sekali gus meningkatkan imej di mata masyarakat dunia.
#BeritaAm