JOHOR BAHRU, 14 Nov: Tindakan veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad melontarkan provokasi supaya BERSATU bertindak menarik sokongan mereka kepada Menteri Besar Johor adalah tindakan tidak matang dan bersifat kebudakan.
Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, memang menghairankan kenapa Shahrir mencabar Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya menjatuhkan Kerajaan Negeri Johor pimpinan YAB Datuk Hasni Mohamad, daripada UMNO.
“Sikap Shahrir kebudak-budakan. Kenapa dia nak cabar Tan Sri Muhyiddin jatuhkan kerajaan UMNO?” katanya kepada Info Johor sambil menasihatkan mantan Ahli Parlimen Johor Bahru itu supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan politik pada masa akan datang.
Wan Saiful berkata, Muhyiddin telah memberikan jawapan terbaik kepada provokasi Shahrir dan berharap sikap segelintir pemimpin UMNO yang hendak menjatuhkan kerajaan sendiri, akan kekal dalam lingkungan parti itu dan tidak merebak serta merosakkan parti lain.
“Biarkanlah sikap beberapa pemimpin UMNO yang nak menjatuhkan kerajaan dan pemimpinnya sendiri kekal dalam UMNO dan jangan cuba pengaruhi orang lain untuk bersikap seperti mereka,” katanya.
Ketika mengulas provokasi Shahrir kelmarin, Muhyiddin antara lain berkata: “Nak cabar? Besok pilihan raya (PRN Melaka dan PRU15) kita tengok… rakyat sokong siapa. Saya minta maaf sebab sedikit keras, tapi saya fikir ia adalah sangat tidak berasas… saya fikir ia tidak bertanggungjawab… buat kenyataan politik yang amat tidak bertanggungjawab. Sepatutnya orang Johor marah Shahrir Samad.”

Sementara itu, Ketua BERSATU Parit Sulong, Datuk Ariss Samsudin berkata, jika dilihat dari sudut perpaduan Melayu, Shahrir sepatutnya menggunakan pendekatan lebih berhemah dengan mengusahakan semangat ukhuwah.
“Denga nada semangat ukhuwah, ini dapat memantapkan lagi kekuatan politik masa depan Melayu. Dia tidak sepatutnya beretorik politik untuk sesuatu kelompok tetapi akhirnya bangsa Melayu menjadi hilang arah di negara sendiri,” katanya.

Sementara itu, Ketua ARMADA BERSATU Cawangan Taman Kebun Teh, Alhera Minor Zulhelmi berkata, ketika ini bukan masa untuk Johor berpolitik tetapi mesti fokus kepada soal kemajuan ekonomi dan membangunkan negeri supaya lebih Makmur.
“Untuk fikirkan soal hendak bubarkan DUN Negeri Johor, lebih baik fikirkan tentang (kepentingan) orang Johor.
“Dalam keadaan pandemic COVID-19 yang masih mencengkam negara dan rakyat ketika ini, seharus kita semua saling bekerjasama memikirkan dan bertindak soal kebajikan rakyat serta mencari jalan memperbaiki kedudukan ekonomi. Hentikan segala percaturan politik dan berebut kuasa,” katanya.
Apakah tindakan Shahrir juga bermotifkan taktik hendak mengalihkan fokus dan sokongan pengundi Melaka terhadap BERSATU supaya beralih kepada calon Barisan Nasional?
Jawapan Muhyiddin berhubung provokasi Shahrir ternyata mencetuskan pelbagai komen netizen termasuk ramai yang kecewa dengan tindakan Shahrir yang tidak peka kepada situasi sukar sekarang serta kepentingan rakyat kerana mencabar kejadian pembubaran DUN Melaka supaya dilakukan oleh BERSATU di Johor.
“Tengok apa yang UMNO buat di Melaka? Jahat – kerajaan sudah ada, dia sendiri tumbangkan kerajaan dia. Jadi kalau saya buat di Johor, macam (provokasi) Shahrir bodoh tu.. minta maaf saya katakan (Shahrir begitu). Dia suruh BERSATU tarik supaya kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Hasni, Menteri Besar daripada UMNO itu akan jatuh.. Bijak ke bodoh?
“Saya kesian orang Melaka, takkan yang saya tak nak di Melaka, saya nak ulang berlaku di negeri saya?” katanya.