JOHOR BAHRU, 23 Jan: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Johor mengesahkan tiada sebarang pertemuan melibatkan ketua-ketua parti dalam gabungan kerajaan negeri sebelum pembubaran Dewan Negeri Johor.
Meskipun begitu, Ketua Penerangan BERSATU Negeri Johor, Mohd Solihan Badri mengakui, beliau tidak pasti akan keperluan mendapatkan persetujuan daripada parti-parti dalam kerajaan oleh Menteri Besar selaku Ketua Eksekutif Negeri bagi tujuan tersebut.
“Saya tak pasti sama ada perlu dapat persetujuan daripada parti-parti komponen atau tidak. Tapi memang tak ada minta pandangan daripada kami. Tak ada dari BERSATU, PAS.
“Ketua (parti) negeri jumpa dengan ketua (parti) negeri.. saya tidak fikir begitu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melancarkan Kempen Pemeriksaan Kenderaan Secara Sukarela ‘Drive Safe No Regrets’ anjuran PUSPAKOM di Pusat Pemeriksaan PUSPAKOM Senai, dekat sini, hari ini.
Ditanya pemberita sama ada pembubaran Dewan Negeri Johor itu lebih kepada kehendak UMNO, Mohd Solihan secara berterus terang menjawab ‘ya’.
“Sebab prosedur ia… Menteri Besar merasakan kehilangan sokongan. Punya pentadbiran tidak stabil. Jadi beliau (Menteri Besar) menasihati sultan. Sultan bersetuju (perkenan) dan sultan memberi persetujuan (perkenan).
“Selepas ini, kerajaan (negeri) memaklumkan (kepada) Speaker (Dewan Negeri). Speaker akan maklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk proses seterusnya,” katanya.