Oleh Mohd Kamal Ahmad
JOHOR BAHRU: Semua pihak menunggu bila kerajaan akan membuat keputusan untuk membuka sempadan negara secara selamat, selepas Majlis Pemulihan Negara (MPN) dimaklumkan mengenai bayangan tindakan itu seperti dinyatakan Pengerusinya, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 15 Oktober 2021 lalu.
Beliau berkata, langkah selamat yang dimaksudkan ialah Malaysia hanya membenarkan pelawat asing dari negara tertentu yang telah lengkap divaksin untuk memasuki negara tanpa perlu menjalani kuarantin wajib menerusi program mutual recogniction of vaccine certificate seperti yang dilaksanakan di beberapa negara lain ketika ini.
Pada masa sama, rakyat Malaysia dan Singapura turut ternanti-nanti bila republik itu akan melakukan perkara sama. Sebelum ini, pihak berkuasa di sana ‘merasakan tidak terdesak’ untuk membuka sempadannya dengan Malaysia. Jadi, bila agaknya Singapura akan merasa terdesak dan terpaksa membuka sempadannya?
Dalam perkembangan sama, Singapura telah membenarkan kemasukan pelancong asing daripada negara tertentu untuk menjana semula sektor pelancongannya. Tetapi kenapa mereka terus membebankan pekerja Malaysia dengan pelbagai syarat supaya tidak boleh merentas sempadan untuk balik ke Malaysia?
Difahamkan, ada lebih 200,000 pekerja rakyat Malaysia masih bekerja dan tinggal di Singapura sejak Mac 2020 lalu. Mereka difahamkan membelanjakan semula sebahagian besar gaji untuk membeli makanan, membayar sewa bilik, melunaskan bayaran ansuran kenderaan atau untuk tambang pengangkutan ulang-alik kerja.
Keadaan ini berbeza sebelum COVID-19, di mana mereka berulang-alik Johor Bahru-Singapura setiap hari dan gaji harian atau bulanan yang diperolehi dibelanjakan sebahagian besar di Malaysia.
Jadi, berapa bilion SG$ yang dibelanjakan pekerja Malaysia yang ‘tersangkut’ di Singapura sejak mereka disekat keluar dari republik sejak kira-kira 20 bulan lalu? Mengambil purata kos yang dibelanjakan seorang ialah antara SG$1,500 hingga SG$2,000 sebulan, maka jumlah perbelanjaan rakyat Malaysia di sana kira-kira SD$240 juta sebulan. Jika 20 bulan, kosnya mencecah SD$4.8 bilion.
Wang sebanyak ini ternyata membantu untuk mempertahankan kegiatan ekonomi rakyat Singapura yang menyewakan bilik atau rumah, menjual makanan dan kedai runcit selain caj lain untuk pelbagai urus niaga dan perkhidmatan.
Andai 200,000 pekerja Malaysia ini dibenarkan berulang-alik semula antara Johor Bahru-Singapura setiap hari, maka ia akan menjejaskan ekonomi rakyatnya yang terlibat dengan perkara disebutkan tadi. Jadi, Singapura meletakkan status ‘merasakan tidak terdesak’ untuk kepentingan ekonominya berdasarkan jumlah wang yang disumbang pekerja Malaysia ketika ini adalah besar. Justeru, Singapura merasakan kehadiran rakyat Malaysia di sana perlu dipertahankan demi kepentingan rakyat dan ekonominya.
Ternyata pekerja asing di Singapura kerap menjadi isu di republik itu sejak berdekad lalu termasuk caruman CPF dan penggajian bagi pekerja asing. Jadi, sekatan terhadap pekerja Malaysia turut memberi kesan bukan sahaja keselesaan hidup dan hubungan keluarga yang terpisah, malah aspek tekanan emosi dan psikologi akibat pelbagai punca lain.
Jadi – apakah nasib 200,000 pekerja Malaysia di Singapura ini perkara kecil atau isu remeh atau menjadi mangsa keadaan? Kerajaan Singapura perlu melihat permasalahan ini secara jujur, inklusif dan terbuka. Cari nilai kebaikan bersama dan situasi menang-menang. Sejarah membuktikan, rakyat adalah antara yang membangun dan memajukan Singapura selama ini. Kompromi dan mempermudahkan syarat adalah jalan terbaik. Ia adalah ‘special case’ antara kedua-dua negara.
Pandemik COVID-19 juga telah menjadikan rakyat Singapura lebih kreatif, inovatif, mandiri dan berani ‘membuatnya sendiri.’ Jika selama ini mereka berbondong-bondong menyeberang Tambak Johor dan menghabiskan lebih RM2 bilion sebulan untuk membeli produk serta mendapatkan perkhidmatan, kini rata-rata mereka sudah pandai membuat kuih-muih dan memasak pelbagai makanan popular Johor selain menjahit baju sendiri dan lain-lain tanpa ‘bantuan atau bekalan’ dari Johor. Malah kini ramai peniaga dari rumah muncul dan menawarkan jualan pelbagai produk atau servis dalam talian untuk orang Singapura sendiri.
Kemampuan ini turut mengurangkan ‘desakan’ rakyat Singapura supaya kerajaannya membuka sempadan masuk ke Malaysia. Mungkin mereka tidak boleh lagi mencuci kereta, mengisi petrol, urut badan atau melancong semahu-mahunya di Malaysia seperti sebelum COVID-19. Tetapi dalam kaedaaan sekarang, mereka merasakan memadai dengan melancong di negara sendiri. Lagipun kini ada pelbagai pakej pelancongan baharu ditawarkkan seperti melancong di udara, meredah paya, berjalan malam di pantai dan memancing di lubuk-lubuk ‘biasa’ di perairan mereka.
Kemandirian republik itu juga terserlah menerusi keputusan strategik kerajaannya yang memperuntukkan lebih SD$20 bilion untuk penyelidikan saintifik (termasuk vaksin), serta mencari jalan meningkatkan sokongan kepada inovasi dan pengkomersialan teknologi untuk tempoh lima tahun ini.
Jadi, Singapura ternyata menjadi lebih mandiri selepas pengalaman daripada COVID-19. Pasti mereka kini sedang Menyusun pelan bagaimana mampu bertahan tanpa komoditi dan tenaga kerja import jika pandemik seperti COVID-19 atau yang lebih buruk, melanda lagi pada masa akan datang.
“Pelaburan kami dalam penyelidikan dan inovasi akan mempertajamkan daya saing kami,” kata Timbalan Perdana Menterinya, Heng Swee Keat.
Singapura ternyata sangat bijak menyusun strategi dan sentiasa bersikap proaktif serta pre-emptif untuk memanfaatkan apa saja peluang dan apa sahaja yang ada di sekeliling termasuk musibah yang melanda untuk kelangsungan ekonominya.
Ringkas dalam isu ini, rakyat Malaysia yang bekerja di sana membantu menjana ekonominya dan aliran mata wang SD$ ke Malaysia menerusi perbelanjaan rakyatnya, dapat disekat.
Serampang dua mata!