KOTA TINGGI, 19 Feb: Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulangi saranan agar pintu sempadan negara di Johor, segera dibuka selepas ditutup akibat pandemik COVID-19.
Saranan itu dizahirkan secara bersahaja kepada pemimpin Perikatan Nasional yang ada dalam Kabinet ketika beliau berucap pada Majlis Pelancaran PN Negeri Johor di Padang Awam Taman Pasak Indah, di sini semalam.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara mengakui Johor merupakan negeri paling terkesan susulan penutupan pintu sempadan negara akibat pandemik COVID-19.
“Waktu kita berhadapan dengan pandemik COVID-19, antara negeri yang paling terkesan yang cukup mendalam ialah Negeri Johor. Terkesan kerana Johor sejak dahulu terbuka.
“Tapi pintu di Johor, di selatan sudah tertutup lama. Lebih dua tahun lamanya. Bukalah (Dato’ Seri Mohamed) Azmin (Ali) cepat-cepat. Dato’ (Seri) Tuan Ibrahim (Tuan Man), ini saya cakap kawan-kawan dalam Kabinet.
“Tapi kesan dalam tempoh yang hanya dua tahun, antara banyak negeri-negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, (terkesan teruk adalah) Johor,” katanya.
Muhyiddin berkata, dengan suasana semasa, timbul persoalan bagaimana hendak menguruskan masa hadapan Johor bukan dalam situasi yang seperti biasa.
“Dalam keadaan yang luar biasa. Kalau setakat kekuatan dan juga kepimpinan yang terdahulu dipimpin oleh Barisan Nasional (BN), itu tidak mencukupi.
“Apa lagi mereka ini, sudah pun kemaruk kuasa. Mereka banyak sudah salah guna kuasa. Banyak kepincangan yang sudah berlaku. Wang ringgit rakyat sudah pun dikeroyok dan dikorbankan,” katanya.
Dengan pertuduhan kes di mahkamah melibatkan pemimpin UMNO-BN yang belum selesai sehingga hari ini, beliau turut melontarkan soalan kepada Bangsa Johor.
“Apakah rakyat Johor nak mengharapkan kepada puak-puak sebegini. Kluster ke tak kluster mahkamah, orang UMNO dan BN ini? Saya fikir jawabnya tidak. Dah bagi dah peluang lama dah.
“Saya pun berada di saf di sana dulu. Saya faham tentang situasi begitu. Setakat untuk menguruskan seperti biasa, boleh. ‘But the time now, is not a similar time’.
“Bukan situasi keadaan biasa. Bukan sahaja di Johor, di seluruh negara. Nak memulihkan keadaan negara yang sudah dirosakkan,” katanya.
Susulan daripada situasi negara yang disifatkan sebagai tidak semolek seperti digambarkan, Muhyiddin menempelak tindakan pihak lawan yang menjaja soal ‘kestabilan’.
“Kononnya untuk tujuan menentukan supaya mereka yang ada di dalam barisan Kerajaan Pusat adalah orang yang cukup berpengalaman dan pilih semula Barisan Nasional, Nauzubillah Min Zalik.
“Saya tak tahu apa yang akan berlaku di masa hadapan,” katanya.