JOHOR BAHRU: Kebenaran rentas negeri untuk berjumpa keluarga setelah sekian lama terpisah membuktikan segala perancangan dilaksanakan kerajaan adalah berkesan.
Ketua ARMADA BERSATU, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kelonggaran yang dinikmati itu merupakan hasil ‘blueprint’ kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau turut memanjatkan kesyukuran atas kebenaran rentas negeri oleh kerajaan selain menyifatkan kehidupan rakyat telah kembali pulih walaupun tidak lagi seperti dahulu.
“Tiada lagi kedengaran ‘kerajaan gagal’. Tiada lagi tuduhan biadab daripada penghasad yang mahu gagalkan usaha pemulihan negara yang dirancang beliau.
“Jelas apa yang telah dirancang dan dilaksanakan kerajaan kini benar-benar berkesan – hasil ‘blueprint’ daripada kepimpinan mantan Perdana Menteri, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya seperti dipetik dari Facebooknya pada 11 Oktober 2021.
Wan Ahmad Fayhsal berkata, bukan mudah menguruskan pandemik yang tidak pernah berlaku di seluruh dunia hampir 100 tahun lamanya.
“Biarpun ditohmah, diganggu gugat dari musuh luar dan dalam, Tan Sri Muhyiddin tetap utamakan rakyat. Ya, beliau tidak sempurna seperti kita semua tapi beliau tidak sesekali lari daripada medan perjuangan.
“Malah beliau berjiwa besar dengan mendirikan semula kerajaan Perikatan Nasional yang dijatuhkan agar agenda pemulihan negara tetap berjalan walaupun bukan beliau lagi yang mengemudi kerajaan,” katanya.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara itu turut mengucapkan tahniah kepada Jemaah Menteri, penjawat awam, petugas barisan hadapan yang telah menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
“Marilah kita sama-sama beri tumpuan kepada fasa pemulihan negara yang seterusnya agar keamanan dan kemakmuran dapat dikecapi bersama sebagai sebuah #KeluargaMalaysia. Terima kasih YB Tan Sri Muhyiddin Yassin!,” katanya.