BATU PAHAT, 11 Mac: Menjelang hari pengundian esok, calon Perikatan Nasional N.24 Senggarang, Khairul Faizi Ahmad Kamil menukilkan pesanan buat pengundi DUN ditandinginya.
Dalam nukilan itu, Khairul Faizi memberitahu Senggarang memerlukan pemimpin yang bersih dan berintegriti.
“Maka Perikatan Nasional adalah parti paling bersih dan berintegriti berbanding parti-parti lain yang bertanding.
“Johor dan Senggarang memerlukan pemimpin yang cakna berkebajikan. Maka Perikatan Nasional adalah parti paling berkebajikan,” katanya dalam nukilan dimuatnaik dalam laman Facebooknya di sini hari ini.
Khairul Faizi turut mengajak pengundi untuk mengimbau dan mengingati jasa Tan Sri Muhyiddin Yassin atau ‘Abah’ membantu rakyat ketika negara dilanda wabak COVID-19.
“Pasti ramai ingat jasa Abah membantu rakyat jelata ketika pandemik juga usaha-usaha lain memastikan kebajikan rakyat sentiasa terjaga.
“Johor dan Senggarang memerlukan parti yang ada wibawa memacu negeri. Maka Perikatan Nasional adalah parti paling wibawa,” katanya.
Beliau menukilkan, pelaburan tinggi di negeri yang dipimpin Perikatan Nasional, bahkan harga kelapa sawit berada pada tahap tertinggi dalam sejarah juga di zaman Perikatan Nasional.
Nukilnya lagi, Johor dan Senggarang memerlukan pemimpin yang mementingkan kestabilan dan mengutamakan rakyat.
“Maka Perikatan Nasional adalah parti paling mementingkan kestabilan dan mengutamakan rakyat.
“Negeri diketuai pemimpin Perikatan Nasional terus stabil khidmat pada rakyat sedang ada parti yang memperjudikan rakyat di era pandemik hanya untuk laba kuasa.
“Maka Johor dan Senggarang perlukan Perikatan Nasional. Pastikan anda bersama gelombang Demi Bangsa Johor. Kita undi Perikatan Nasional,” katanya.
#DemiBangsaJohor