JOHOR BAHRU: DAP memutuskan menolak empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sebelum ini menarik sokongan kepada Ketua Menteri Melaka, untuk menjadi calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Perkara itu diputuskan secara sebulat suara oleh Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP dalam mesyuarat pada malam semalam.
Bagaimanapun, Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, DAP hanya berjaya meyakinkan rakan parti dalam PH untuk menolak hanya dua daripada empat ADUN terbabit.
“Presiden PKR Anwar Ibrahim secara terbuka menyatakan bahawa dua daripada empat ADUN, daripada UMNO masih dipertimbangkan.
“Jelas bahawa DAP hanya berjaya meyakinkan sekutu kami dalam PH untuk menolak hanya dua daripada empat ADUN tersebut sebagai calon PH dalam PRN Melaka, manakala dua masih dipertimbangkan,” katanya dalam satu kenyataan dimuatnaik di laman Facebook rasminya pada 2 November 2021.
Guan Eng berkata, DAP terus konsisten dalam mempertahankan prinsip, cita-cita dan integriti bahawa PH perlu menjauhkan diri daripada golongan ‘kleptokrat, oportunis dan penyangak’ untuk mengekalkan serta tidak kehilangan ketinggian nilai moral.
“Apa yang dikatakan adalah bagi mencapai kemenangan di Melaka, kita perlu secara taktikal bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang boleh memberikan kemenangan kepada PH.
“Bagaimanapun matlamat itu tidak membenarkan cara terutamanya apabila komitmen mereka terhadap reformasi tulen politik yang memberi manfaat kepada rakyat dan negara, diragui,” katanya.
Beliau berkata, DAP sebelum ini telah kalah undian dalam PH oleh PKR dan AMANAH, serta terpaksa akur dengan keputusan majoriti demi kepentingan perpaduan pakatan.
Ujarnya, bagaimanapun, ia tidak bermakna bahawa keputusan majoriti dibuat sebelum ini adalah betul.
“DAP berharap kewarasan akan tertegak dalam PH dan menggesa sekutu kami dalam PH supaya memilih mereka yang ikhlas terhadap aspirasi PH dan bukannya mereka yang bermotifkan politik oportunis semata-mata.
“PH tidak boleh mengulangi kesilapan yang sama dengan kehilangan ketinggian nilai moral dengan membenarkan dua daripada empat ADUN berkenaan bertanding sebagai calon PH pada PRN Melaka,” katanya.