JOHOR BAHRU, 13 Jan: Polis Johor menahan dua individu dan merampas sejumlah dadah dalam dua operasi khas di sekitar bandar raya ini, semalam.
Serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor sekitar jam 7 malam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor, Superitendan R Azizan Ibrahim berkata, dalam serbuan tersebut, seorang lelaki tempatan dan seorang wanita Vietnam ditahan.
“Hasil saringan urin mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine. Manakala semakan rekod mendapati seorang suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.
“Modus operandi kegiatan ini adalah dengan menyewa rumah ‘gated and guarded’ untuk dijadikan tempat menyimpan dadah. Kegiatan ini telah beroperasi sejak pertengahan tahun 2021,” katanya di sini, hari ini.
R Azizan berkata, dengan tertangkapnya suspek dalam kegiatan itu, polis berjaya membuat rampasan dadah bernilai keseluruhan RM63,785.
Katanya, antara dadah yang dirampas adalah 89.7 gram syabu, 64.9 gram ketamin, 3.2 gram ganja, 623.4 gram serbuk ekstasi, 77.5 gram magic mushrooms, 304 biji pil ekstasi, 337 biji pil eramin 5 dan 26 biji pil yaba.

“Polis juga telah menyita sebuah kereta bernilai RM43,000 dan wang tunai RM550. Jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan bagi operasi ini adalah RM107,335.
“Kesemua suspek telah direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 19 Januari 2022 untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan, jika disabitkan kesalahan,” katanya.
Beliau berkata, dadah yang dirampas dalam operasi boleh digunakan oleh seramai 3,569 penagih.