JOHOR BAHRU, 7 Feb: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menegaskan hubungannya bersama ketua-ketua parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah mesra.
Menurutnya, walaupun berlainan parti membentuk kerajaan negeri, mereka tegas dengan ikrar GRS serta sentiasa bekerja keras demi kemajuan rakyat dan negeri.

“Ingin saya nyatakan dengan jelas, hubungan saya dengan Datuk Seri Panglima Bung Moktar bin Radin, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah; Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili, Presiden PBS dan Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan, Presiden STAR serta semua rakan komponen GRS yang lain adalah sangat mesra dan semakin lama semakin kuat.
“Tidak pernah berlaku salah faham antara kami walaupun orang lain sering bercakap tentang kami. Meskipun, kita datang daripada parti yang berlainan, kita tegas dengan ikrar GRS. Apa yang perlu kita lakukan ialah bekerja keras untuk membawa kemajuan kepada rakyat Sabah dan negeri ini,” tulisnya menerusi hantaran dimuatnaik dalam laman Facebook, semalam.
Hajiji berkata, penegasan tersebut diharapkan menjelaskan situasi sebenar berkaitan hubungan mereka, dan tiada lagi cerita tidak benar tentang perkara itu.
“Dengan penjelasan ini, saya berharap tidak akan ada lagi cakap-cakap yang Hajiji tidak baik dengan Bung atau Dr Max dan Dr Jeffrey. Kita juga tidak perlu berebut kerusi.
“Kita boleh selesaikan dengan melihat kekuatan parti masing-masing. Jika parti itu kuat dalam sesebuah kawasan maka kerusi akan diberikan,” katanya.