JOHOR BAHRU, 23 Dis: Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan penggantungan sementara penjualan tiket bas dan penerbangan bagi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) melalui udara dan darat antara Malaysia-Singapura berkuatkuasa hari ini hingga 20 Januari 2022.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, penggantungan sementara itu setelah mengambil kira perkembangan terkini oleh Singapura.
Beliau memberitahu pada 20 Disember lalu, Kementerian Kesihatan Singapura mengeluarkan kenyataan media berhubung kejadian satu kluster tempatan COVID-19 yang melibatkan tiga kes positif.
“Hasil ujian lanjut yang dijalankan didapati dua daripada menunjukkan kemungkinan varian Omicron, sementara keputusan bagi lain-lain kes masih lagi belum selesai (pending).
“Ketiga-tiga kes ini tidak mempunyai sebarang sejarah perjalanan ke luar negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Khairy berkata, bagi pengembara yang telah memiliki tiket perjalanan VTL darat dan udara serta memenuhi syarat-syarat ditetapkan boleh meneruskan perjalanan di bawah inisiatif itu.
Ujarnya, penjualan tiket bas dan penerbangan bagi kedua-dua inisiatif VTL itu akan dibuka semula bermula 21 Januari 2022, selepas penilaian risiko dibuat berdasarkan situasi semasa COVID-19 di kedua-dua negara.
“Bagaimanapun, kuota tiket yang dijual akan dikurangkan daripada kuota sedia ada,” katanya.
Beliau memaklumkan, maklumat lanjut berhubung arahan terkini bagi penggantungan sementara penjualan tiket bas dan penerbangan bagi inisiatif VTL antara Malaysia-Singapura dirujuk kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
“KKM ingin menyarankan semua pengembara supaya bertanggungjawab dan sentiasa mematuhi arahan serta SOP yang telah ditetapkan.
“Lakukan ujian pengesanan COVID-19 kendiri secara berkala bagi mengetahui status risiko diri sendiri dan seterusnya mampu mengurangkan risiko jangkitan kepada individu lain,” katanya.