JOHOR BAHRU, 21 Dis: Kedaulatan dan keselamatan negara perlu sentiasa diberi keutamaan dengan mempertingkatkan kawalan di pintu masuk utama dan sempadan, tegas Sultan Johor.
Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar sebelum itu berkenan menerima mengadap Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hamzah Zainuddin, hari ini.
Memetik laporan Royal Press Office (RPO) dimuatnaik dalam laman Facebook Sultan Ibrahim, pertemuan tersebut berlangsung selama hampir dua jam.
Sultan Johor bertitah, Baginda amat menitikberatkan berkaitan kedaulatan dan keselamatan negara pada perbincangan bersama Hamzah.
“Saya membincangkan mengenai Pulau Pisang, Pulau Batu Puteh dan juga Tompok Utara, di mana kawalan keselamatan khususnya di sempadan negara serta pintu-pintu masuk utama perlu dipertingkatkan,” titah Baginda Tuanku Sultan kepada RPO, di sini.
Sementara itu, Hamzah seperti dilaporkan memberitahu kawalan sempadan menjadi teras utama Kementerian Dalam Negeri bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman negara sentiasa terpelihara.
“Baginda Tuanku Sultan juga amat menitikberatkan perkara ini dan Baginda juga berkenan menyampaikan nasihat untuk memperketatkan kawalan sempadan supaya ia tidak mudah dicerobohi.
“DYMM Sultan Johor turut menzahirkan rasa sedih dengan tragedi bot karam yang membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) hingga mengorbankan banyak nyawa berlaku di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi, baru-baru ini,” katanya.
Selain itu, Hamzah dilaporkan berkata, Baginda Tuanku Sultan juga berkenan mencadangkan beberapa perkara bagi memperketatkan perundangan khususnya berkaitan prosedur kapal-kapal berlabuh di perairan negara.
“Terdapat juga banyak kapal-kapal berlabuh di perairan negara khususnya di kawasan Desaru dan Baginda juga amat menitikberatkan keselamatan nelayan-nelayan tempatan terutama ketika laut bergelora.
“Begitu juga cadangan Baginda supaya dilengkapi satu struktur keselamatan termasuk sistem radar di perairan negara bagi mengesan kemasukan penceroboh. Kesemua perkara ini akan saya memberi perhatian,” katanya.