ISKANDAR PUTERI, 24 Nov: Kerajaan Johor akan mengemukakan cadangan untuk membenarkan solat berjemaah di masjid dan surau di negeri ini dengan merapatkan semula saf seperti asal.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, satu mesyuarat bersama Jawatankuasa Dakwah Negeri Johor serta Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau Negeri Johor akan diadakan bagi melengkapkan kertas cadangan tersebut, minggu depan.
Beliau berkata, pihaknya juga akan mendapatkan nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai cadangan tersebut.
Menurutnya, cadangan itu kemudian akan dipersembahkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bagi mendapatkan perkenan baginda.
“Oleh itu, kita akan perincikan kertas cadangan prosedur operasi standard (SOP) baharu solat jemaah di masjid dan surau pada minggu depan sebelum dipersembahkan kepada Tuanku.
“Dua cadangan yang akan diketengahkan dalam kertas cadangan itu ialah solat jemaah dengan kapasiti penuh masjid/surau tanpa penjarakan sosial dan solat jemaah dengan kapasiti penuh dengan penjarakan sosial.
“Insya Allah, diharap tatacara SOP baharu solat berjemaah di masjid dan surau di negeri ini tanpa penjarakan fizikal akan diperkenalkan pada awal Januari depan setelah diperkenan Sultan Johor,” katanya pada sidang media pada Sidang Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, di sini hari ini.
Tosrin berkata, ramai yang bertanyakan kepada pihaknya bila solat jemaah di masjid dan surau di negeri ini dapat kembali seperti dahulu sebelum penularan COVID-19 setelah Johor memasuki Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Dalam satu kenyataan pada 13 Oktober lalu, Johor membenarkan solat Jumaat dan solat fardhu lima waktu di negeri ini dilaksana dengan mengikut had satu pertiga daripada kapasiti masjid atau surau.
Menurut kenyataan itu, Johor turut membenarkan solat fardhu lima waktu dan solat jenazah mematuhi penjarakan fizikal satu meter.
Sementara itu, Tosrin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai berkata, cadangan pengenalan SOP baharu solat berjemaah tanpa penjarakan sosial itu, tertakluk kepada situasi COVID-19 semasa di negeri ini.
“Bagaimanapun, jemaah perlu mematuhi SOP sedia ada seperti jemaah perlu lengkap dua dos vaksin.
“Kita juga akan memastikan semua pegawai masjid dan surau negeri ini yang terdiri daripada imam, bilal dan noja sudah lengkap divaksin,” katanya.
Sementara itu, ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah, YB Dr Sulaiman Mohd Nor, pada sidang tersebut, beliau berkata, individu yang ingin mengajar dan memberi sayarahan agama Islam di masjid, surau atau di mana-mana lokasi di Johor mesti memiliki tauliah daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor.
“Perkara ini adalah sebagaimana ketetapan dalam Seksyen 118 EnakmenPentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003,” katanya.