JOHOR BAHRU, 8 Mac: Seorang petugas Perikatan Nasional berkongsi detik cemas apabila dikepung dan dicederakan sekumpulan individu dalam kejadian dekat Iskandar Puteri, di sini.
Sujali Ahmad, atau lebih dikenali sebagai Pak Ali, 61, mengakui tidak menyangka peristiwa tersebut boleh berlaku ke atas dirinya kerana merasakan setiap jentera parti bebas memasang bendera ketika berkempen.
Beliau memberitahu, kumpulannya telah melakukan kerja memacak bendera di kawasan tersebut pada 4 Mac lalu. Namun bendera yang dipasang itu didapati telah dicabut ketika mereka meninjau lokasi sama pada 5 Mac lalu dan menggantikan semula dengan bendera baharu.
“Pada 6 Mac saya datang lagi, bendera itu tak ada (pada) sebelah pagi. Cari-cari tak dapat. Sebelah petang itu, saya arahkan jentera saya seramai tiga orang (untuk) sama-sama pasang.
“Kemudian, kami kena tahan dengan tiga orang. Mereka gertak saya, pukul saya. Tangan dihentak-hentak. Jadi benda-benda macam ini, saya tak jangka berlaku,” katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan Utama (BGU) PN dekat Senai kelmarin.
Pak Ali turut memberitahu berlaku pertengkaran dengan kumpulan individu terbabit, selain ditohmah dengan kata-kata kesat terhadap dirinya dan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Dia cakap, awak pasang bendera dekat kampung saya ini, awak cari duit. Saya cakap dengan dia, (bahawa) saya bukan cari duit. Saya pasang bendera ini kerana parti, saya sayangkan ‘Abah’.
“Yang saya kesal ini, (mereka dakwa) ‘Abah’ ini penipu. Ada dalam video itu. (Tuduh) ‘Kencing’, penipu dia kata. Janganlah cakap ‘Abah’ saya macam itu. Dalam perjuangan, itulah bapa saya,” katanya.
Atas keikhlasan dalam perjuangannya, beliau telah terlibat dengan pelbagai aktiviti parti di mana-mana sahaja termasuk gerakan sukarela membantu mangsa banjir.
“Saya pun tak jangka pilihan raya ini diadakan waktu kita ini (mengalami) macam-macam kesusahan. Banjirlah, COVID-19 orang tak ada kerja kena kuarantin. Jadi, benda-benda macam ini saya kesal,” katanya.
Sebagai pendukung Perikatan Nasional, Pak Ali memberitahu dirinya rela untuk berjuang meskipun nyawanya tergadai.
“Bayangkan kalau awak kena kepung dalam lapan orang. Depan belakang kiri kanan, apa awak rasa? Bila dia pukul, rentap, tarik, hentak tangan, saya (cakap) habislah.
“Tapi saya tenang. saya cakap dengan dia, hidup mati kerana parti saya. Kerana ‘Abah’ saya, jangan menghina ‘Abah’ saya. Muhyiddin Yassin telah memberi jasa yang banyak kepada kita.
“Tentang FELDA, kebajikan, KWSP dan macam-macam. Kenapa kau hina itu, saya tak boleh terima,” soalnya sambil menyifatkan tindakan kumpulan terbabit menunjukkan pesaing politik Perikatan Nasional sedang berada dalam ketakutan.
“Apa dia nak takutkan? Kalau dia takut jangan bubarkan DUN Johor. Tapi dia bubarkan kerana dia yakin boleh menang. (Tapi) dia takut dengan Perikatan Nasional.
“Tak apa. Saya dapat menerima, yang penting saya kerja keras. Menang atau kalah bagi saya, perjuangan saya belum habis lagi. Belum tamat lagi,” katanya.
Beliau memberitahu akan menggerakkan jenteranya untuk menghantar risalah rumah ke rumah sepanjang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.
Kekasaran yang berlaku ke atas Pak Ali oleh sekumpulan individu dipercayai daripada parti lawan turut tular di media sosial, dan mendapat reaksi pelbagai pihak.
Beliau yang juga merupakan seorang pemandu teksi telah membuat laporan polis berhubung kejadian di Balai Polis Iskandar Puteri sekitar jam 11 pagi, kelmarin.
#DemiBangsaJohor