JOHOR BAHRU, 19 Jan: Polis menangkap suspek cubaan samun kedai emas di sebuah pasar raya di Taman Mutiara Rini, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, Pusat Kawalan Daerah (PKD) Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri menerima panggilan memaklumkan kejadian kira-kira jam 10 malam.
Menurutnya, berpandukan maklumat, pihak polis telah berjaya menangkap seorang lelaki warga tempatan di tempat kejadian.
“Siasatan awal mendapati suspek yang tidak bersenjata telah membakar mercun di ruang tengah pasar raya, masuk melalui pintu depan kedai ketika pintu ‘shutter’ ditutup separuh dan terus menuju ke peti besi di bahagian belakang.
“Mangsa seorang wanita tempatan sebagai pengurus kedai tersebut telah cedera di pipi kira akibat ditumbuk oleh suspek. Mangsa tidak mengalami sebarang kerugian,” katanya di sini semalam.
Dzulkhairi berkata, polis berjaya merampas beberapa barang kes daripada suspek antaranya sekotak dan dua batang mercun, topeng muka, pemetik api serta sepasang sarung tangan.
“Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai tujuh rekod lampau iaitu enam kes samun dan satu kes curi kenderaan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan dan suspek akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman,” katanya.