BERFUNGSINYA pelbagai struktur untuk kemudahan dan keselamatan awam adalah penting. Ia adalah imej sebuah bandar atau bandaraya. Contohnya, lampu jalan. Ia bukan sahaja menghidupkan suasana malam, tetapi nilai dan peranan hakikinya iaitu menerangi jalan ketika malam. Jalan yang terang akan memberi pelbagai manfaat kepada pengguna jalan selain mengurangkan kadar kemalangan dan mengelakkan kejadian tidak diingini seperti jenayah.
Dalam kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), boleh dikatakan masih ada lampu jalan yang tidak berfungsi. Jika pihak MBJB hendak tahu jumlah lampu yang padam, buat rondaan malam dan kiralah berapa banyak lampu yang rosak. Pada masa sama kerosakan itu perlu dibaiki serta-merta. Begitu juga, jika hendak tahu jalan yang menakung air dan longkang tersumbat, buat rondaan ketika hujan ataupun selepas hujan. Buat penandaan lokasi dan baiki segera apabila cuaca cerah.
Sebagai warga Bandaraya Johor Bahru, saya perhatikan aspek struktur utama kemudahan awam (sama ada milik Persekutuan atau Negeri) dalam kawasan MBJB perlu ditingkatkan seiring dengan imejnya sebagai bandaraya sempadan dan pintu masuk utama negara dari Singapura.
Contoh lain ialah keadaan jalan tidak rata dan banyak tompok turapan yang tidak sekata dengan jalan sedia ada. Banyak jalan diselenggara hanya di bahagian yang rosak. Sedangkan untuk mewujudkan jalan yang baik dan rata yang sekata dengan imej sebuah bandaraya, ia perlu diturap seluruhnya mengikut jadual ditetapkan.
Longkang yang pecah dan tersumbat di Jalan Tebrau dari arah laluan susur turun dari Pejabat Polis Trafik Johor Bahru menuju Jalan Tun Razak, sudah sekian lama berlaku. Ia menyebabkan air melimpahi jalan sepanjang masa. Lokasi ini kira-kira 500 meter dari bangunan baharu MBJB dan tiada dalam radar pemantauan petugas MBJB untuk dibaiki. Disebabkan limpahan air longkang di situ, kemalangan jalan raya berlaku pada lokasi tersebut.
Pada awal Februari 2021, MBJB dilaporkan akan menaik taraf lampu jalan di bandaraya ini yang melibatkan pemasangan lampu LED untuk jalan Persekutuan. Sebagai warga bandaraya, saya menyifatkan langkah ini memang wajar. Tetapi penyelenggaraan lampu jalan juga perkara yang wajar dilakukan dari masa ke semasa. Pemantauan dan penyelenggaraan apa sahaja kemudahan awam memang wajar kerana penghuni bandaraya membayar pelbagai cukai.
MBJB juga pernah kongsikan kenyataan di mana pihaknya menerima13,596 aduan daripada orang ramai sepanjang 2020. Daripada jumlah itu, 2,465 melibatkan aduan kategori pokok, dikuti aduan kategori jalan (1,860), aduan berkaitan haiwan atau serangga (1,595), aduan kategori lampu (1,570) dan aduan berkaitan pembersihan awam (1,205) manakala 9 aduan disalurkan kepada jabatan dan agensi kerajaan lain.
Justeru, saya mohon semoga pihak MBJB meluangkan masa untuk meninjau bagaimana keadaan struktur di kanan kiri jalan utama di bandaraya ini – longkang, hiasan, lampu, garis jalan, pemilihan tanaman hiasan dan landskap serta struktur seperti besi penghadang dan binaan tembok pembahagi jalan, yang pada pandangan saya tidak mencapai standard sebuah bandaraya.
Pengguna Setia Jalan Tebrau
Johor Bahru.