JOHOR BAHRU, 26 Nov: Naib Presiden BERSATU, Datuk Wira Mohd Rafiq Naizamohideen hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka dan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Melaka berkuatkuasa serta-merta.
Menurutnya, surat rasmi peletakan jawatan tersebut akan diserahkan kepada Presiden BERSATU yang juga Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, esok.
“Saya ingin memohon jutaan kemaafan atas segala kekhilafan sepanjang saya menjalankan tugas sebagai Pengerusi PN Melaka dan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Melaka.
“Peletakan jawatan ini bagi memberi peluang kepada kepimpinan baru untuk mengetuai BERSATU Melaka dan PN Melaka supaya mempunyai masa yang mencukupi bagi membuat segala persiapan bagi menghadapi PRU-15,” katanya, hari ini.
Mohd Rafiq berkata, peletakan jawatan itu juga bagi membolehkan segala fokus dapat dirinya berikan untuk memperkukuhkan kedudukan dan sokongan rakyat terhadap PN Parlimen Tangga Batu dan BERSATU Bahagian Tangga Batu.
“Serta memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tanggungjawab saya sebagai Naib Presiden BERSATU menjelang PRU-15.
“Saya berharap dan berdoa agar rakyat Melaka dan rakyat Malaysia dapat terus memberikan sokongan kepada PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan moga-moga PN akan mencapai kejayaan yang cemerlang pada PRU-15 yang bakal tiba nanti,” katanya.