KUALA LUMPUR, 23 Jan: Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini memohon seluruh rakyat mendoakan supaya mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini dirawat di Institut Jantung Negara (IJN), diberi kesembuhan dan kembali sihat.
Pada masa sama, beliau juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) turut berdoa supaya Dr Mahathir dipermudahkan urusan rawatan.
“Marilah kita sama-sama berdoa agar urusan rawatan Tun Dr Mahathir dipermudahkan dan beliau diberi kesembuhan serta kesihatan,” katanya dalam poster dimuat naik dalam Facebook, hari ini.
Muat naik Muhyiddin mendapat maklum balas lebih 15,000 orang serta 1,400 komen dan lebih 800 perkongsian dalam tempoh enam jam.
Semalam, Dr Mahathir dilaporkan sekali lagi dimasukkan ke IJN bagi mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Koronari (CCU) pusat perubatan itu.
Dalam satu kenyataan, Datin Paduka Marina Mahathir memaklumkan keadaan kesihatan ayahnya kini stabil.