JOHOR BAHRU, 26 Feb: Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan rasa syukur dan gembira berikutan 56 calon Perikatan Nasional diterima bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selepas proses penamaan calon berakhir.
Pengerusi Perikatan Nasional itu turut bersyukur apabila dimaklumkan proses penamaan calon di seluruh negeri pada pagi tadi, berjalan lancar.
Beliau berkata, calon-calon Perikatan Nasional merupakan individu berkelayakan, berkelulusan, berpengalaman, berakhlak dan berhemah tinggi serta memenuhi kriteria diperlukan untuk menjadi seorang wakil rakyat
“Setiap calon terpilih telah menjalani dan melepasi proses tapisan yang ketat bagi memastikan mereka bersih daripada sebarang salah laku, bebas daripada kes mahkamah seperti rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
“Kesemua calon akan menandatangani aku janji dan mengangkat sumpah menolak segala perbuatan rasuah, salah guna kuasa dan berikrar memikul tanggungjawab serta amanah bagi membentuk sebuah kerajaan negeri yang bersih,” katanya seperti dipetik dalam hantaran dimuatnaik di laman Facebook, hari ini.
Muhyiddin berkata, dengan keazaman yang tinggi untuk berkhidmat kepada bangsa Johor, beliau percaya pasukan Perikatan Nasional mampu merencana dan memacu pembangunan negeri ini menjadi sebuah negeri yang maju.
“Yang mana kemakmurannya dapat dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat tanpa ada seorang pun yang tertinggal atau terpinggir. Sehubungan itu saya menyeru seluruh bangsa Johor agar dapat menyokong dan mengundi calon Perikatan Nasional pada Pilihan Raya Negeri Johor 12 Mac nanti.
“Inilah peluang keemasan bagi bangsa Johor untuk menubuhkan sebuah kerajaan negeri yang bersih, berintegriti, bertanggungjawab dan prihatin rakyat. Undilah Perikatan Nasional!,” katanya.
#BeritaAm #PRNJohor