JOHOR BAHRU, 3 Mac: Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin menempelak ucapan Dato’ Sri Najib Razak mendakwa tiada satu sen dana awam digunakan membayar balik jumlah hutang pokok 1MDB.
Beliau mempersoalkan sama ada Ahli Parlimen Pekan itu lupa bahawa 1MDB menerbitkan bon-bon yang dijamin oleh kerajaan.
“Di Parlimen semalam, dia kata itu bukan duit rakyat. Itu duit Goldman Sachs, itu duit Deloitte dan lain-lain. Dia lupakah yang 1MDB menerbitkan bon-bon yang dijamin oleh kerajaan.
“Dan apabila 1MDB gagal membayar hutangnya, kerajaanlah yang terpaksa membayar yang keseluruhannya berjumlah RM50 bilion sehingga tahun 2039,” katanya ketika berucap pada Majlis Ikrar dan Akujanji Anti-Rasuah Calon Perikatan Nasional bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, di sini, hari ini.
Muhyiddin berkata, dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), sebanyak RM21 bilion diperuntukkan untuk membayar hutang 1MDB dan ia merupakan duit rakyat.
“Bayangkan dengan jumlah RM21 bilion ini, banyak projek-projek pembangunan yang boleh dibina untuk rakyat. Sekolah, hospital, jalanraya, landasan keretapi laju, akses internet dan lain-lain lagi.
“Lebih banyak bantuan prihatin, biasiswa dan subsidi yang boleh disediakan kepada golongan yang memerlukan.
“Tetapi kerana pemimpin tidak berintegriti, pemimpin tidak beramanah, puluhan billion wang negara hilang begitu sahaja dan rakyat terpaksa menanggung beban hutang yang ditinggalkan,” katanya.
Beliau berkata, kenyataan bahawa wang daripada Goldman Sachs, Delloit dan lain-lain boleh digunakan untuk membayar hutang 1MDB, menunjukkan Najib sebagai pemimpin yang tidak amanah serta tahu malu.
Katanya lagi, sebuah pasukan petugas khas ditubuhkan olehnya ketika menjadi Perdana Menteri bagi mencari duit 1MDB yang didakwa disorokkan di luar negara.
“Saya arahkan mereka ini pergi ke luar negara berunding dengan pihak-pihak berkuasa beberapa buah negara untuk dapatkan kembali duit dan aset yang diseleweng dan dimasukkan semula ke akaun Kerajaan Malaysia.
“Sebanyak RM20.5 bilion nilai keseluruhannya termasuk aset yang dirampas. Kalau Najib masih Perdana Menteri dia soroklah duit ini dan takkan dia masukkan semula ke akaun kerajaan,” katanya.
Semalam media melaporkan ucapan perbahasan Najib di Dewan Rakyat mendakwa tiada satu sen pun wang rakyat digunakan untuk membayar prinsipal hutang 1MDB.
Justeru, pemimpin utama Barisan Nasional itu mendakwa adalah tidak betul untuk mencanangkan bahawa rakyat perlu membayar atau menanggung hutang 1MDB.
#DemiBangsaJohor