PAGOH, 9 Dis: Tan Sri Muhyiddin Yassin meluangkan masa seharian meninjau sembilan Pusat Penempatan Sementara (PPS) mangsa banjir dalam Parlimen Pagoh, hari ini.
PPS tersebut adalah Durian Chondong yang menempatkan 15 keluarga, Felda Sri Jaya (10), Sekolah Agama Penchu (10), SJKC Kung Yu, Kundang Ulu (36), Sekolah Agama Bukit Rahmat (21), SK Bukit Rahmat (31), SJKC Pei Eng (34), SMK Sultan Alauddin Riayat Shah 1 (80) dan Dewan Serbaguna Pagoh (31 keluarga).
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu berkata, walaupun keadaan cuaca sudah baik dan tidak lagi hujan, masih ada mangsa banjir yang perlu berlindung di PPS kerana kawasan atau rumah mereka masih digenangi air.
Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh, sepanjang berbual dan menyantuni mereka, rata-rata penduduk melahirkan rasa puas hati dengan kemudahan dan layanan yang diterima ketika berada di PPS itu.
“Keperluan asas seperti makanan, pakaian serta penjagaan kesihatan mereka terjaga,” katanya dalam FB semalam.
Menurut Muhyiddin, yang menjadi harapan mereka adalah bantuan pasca banjir dapat diteruskan selepas musibah ini berakhir. Ini termasuk kerja-kerja membersihkan rumah, membaiki kerosakan dan kemusnahan serta menyediakan tempat tinggal sementara bagi mereka yang kehilangan tempat berlindung.
“Seperti yang pernah saya sebut sebelum ini, segala bantuan hendaklah disalurkan secepat mungkin kerana mangsa banjir sangat memerlukannya lebih-lebih lagi menjelang Thaipusam dan Tahun Baharu Cina Yang bakal menjelang.
“Pastinya bantuan ini sedikit sebanyak memberi sinar kegembiraan kepada mereka yang akan merayakannya,” katanya.
Sambutan Thaipusam dijadualkan pada 18 Januari manakala perayaan Tahun Baharu Cina pada 1 dan 2 Februari.
Pada masa sama, beliau sekali lagi mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan, sukarelawan dan orang perseorangan yang berterusan membantu mangsa banjir ini.
“Jasa dan sumbangan anda semua sungguh besar nilainya dan tidak terbalas,” katanya.