JOHOR BAHRU, 8 Mac: Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Dato’ Sri Najib Razak tidak layak mencabar Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berdebat.
Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan meminta Najib agar sedar diri dan mencari individu yang ‘sedarjat’ dengan bekas Perdana Menteri itu.
“Saya rasa ‘dia’ ini tak layak untuk bercakap dengan seorang tokoh yang seperti Tan Sri Muhyiddin. Jadi dia kena sedar diri, dan cari orang yang satu kumpulan dan satu darjat dengan dia.
“Tak sepatutnya (Najib membuat cabaranon)… cabaran Dato’ Seri Azmin (Ali) pun dia tak berani nak jawab. Dia nak cakap besar pula,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Bilik Gerakan Utama (BGU) di Taman Scientex Utama Senai, di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cabaran dilontarkan Najib terhadap Muhyiddin untuk berdebat mengenai isu FELDA.
Wan Saiful berkata, daripada mencabar untuk berdebat, lebih baik Najib cuba berusaha untuk menjawab soalan-soalan yang ditanya di mahkamah.
Beliau turut merasakan Najib sebenarnya tidak berani untuk bercakap mengenai FELDA, kerana jika sebaliknya, Azmin sudah bersedia berdebat dengan pemimpin UMNO itu.
“Kalau dia nak berdebat, dengan jelas Dato’ Seri Azmin Ali sudah kata Dato’ Seri Azmin adalah orang yang paling baik (layak) untuk bercakap mengenai FELDA.
“Kerana memang dari segi usaha menambahbaik FELDA itu dilakukan di bawah kepimpinan Datuk Seri Azmin Ali.
“Jadi sebelum apa.. jawab yang itu (cabaran Azmin) dulu. Dengan yang itu tak berani, nak pergi dengan Tan Sri Muhyiddin pula,” katanya.
#DemiBangsaJohor