JOHOR BAHRU, 23 Jan: Kedudukan PAS dalam Perikatan Nasional (PN) sentiasa diiktiraf sebagai komponen dalam gabungan tersebut.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Johor, Mohd Solihan Badri berkata, sebaliknya, PAS bukan komponen dalam Barisan Nasional (BN).
“Kedudukan PAS ini dalam PN, dia adalah komponen. Dalam BN, PAS bukan komponen,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melancarkan Kempen Pemeriksaan Kenderaan Secara Sukarela ‘Drive Safe No Regrets’ anjuran PUSPAKOM di Pusat Pemeriksaan PUSPAKOM Senai, dekat sini, hari ini.
Mohd Solihan turut memaklumkan, BERSATU dan PAS sudah mempunyai draf pembahagian kerusi bagi 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sejak tahun lalu.
“Bersama PAS, kita sudah ada dari tahun lepas. Daripada 56 DUN, kita sudah ada draf siapa bertanding di mana. Pembahagian kerusi secara kasarnya, belum kita bincang secara rasmi.
“Saya ketua penerangan negeri memang terlibat dalam merangka dan menganalisa DUN dan Parlimen mana yang kita rasa kita boleh bincangkan. Satu, yang pasti. Kedua, mana yang kita boleh bincangkan,” katanya.