JOHOR BAHRU, 27 Feb: PAS Johor tidak pernah menyisihkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Pasir, Najib Lep pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pesuruhjayanya, Abdullah Husin berkata, malah PAS Johor berusaha memberikan yang terbaik kepada Najib.
“Proses penamaan calon PRN Johor telah selesai di mana kita menyaksikan pertandingan melebihi tiga penjuru berlaku di banyak DUN.
“Tidak terkecuali DUN Bukit Pasir yang menjadi satu-satu DUN dimenangi calon PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 di mana mantan YB DUN tersebut telah bertanding di atas tiket bebas.
“Ingin ditegaskan di sini bahawa PAS Johor tidak pernah menyisihkan ‘mantan YB Najib bin Lep’ bahkan berusaha memberikan yang terbaik untuk beliau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Abdullah berkata, PAS Johor sudah memutuskan Najib sebagai calon di DUN lain, yang berpotensi untuk dimenangi berdasarkan kajian dibuat.
Ujarnya, tindakan itu juga berikutan laporan di mana Najib menghadapi masalah dalam berkomunikasi dengan jentera pilihan raya DUN Bukit Pasir.
“Yang mungkin boleh menjejaskan peluang beliau untuk terus memenangi DUN tersebut.
“Berdasarkan keadaan ini, PAS Johor berbincang dan membuat keputusan dengan persetujuan PAS kawasan berkenaan untuk mencalonkan beliau du DUN tersebut,” katanya.
Beliau berkata, bagaimanapun, Najib bertindak menolak pencalonannya yang telah dipersetujui oleh Majlis Syura Ulamak di DUN baharu dan menyertai pilihan raya atas tiket Bebas di DUN Bukit Pasir.
“Justeru PAS Johor menyerahkan perkara ini kepada PAS Pusat untuk menyiasat dan mengambil tindakan dalam menyelesaikan perkara ini,” katanya.
#DemiBangsaJohor