JOHOR BAHRU: Pelancong yang telah lengkap divaksin dari lapan lagi negara dibenarkan memasuki Singapura tanpa kuarantin mulai 19 Oktober 2021 tetapi Malaysia bukan antaranya.
Alasan Singapura, kelonggaran itu berikutan sikap pengurusan pusat perniagaan mengurangkan sekatan dan bersikap ‘sedia untuk hidup dengan COVID-19’ selari dengan pendirian kerajaan negara ini seperti diumumkan pada 9 Oktober 2021 lalu.
Pelancong terkini yang boleh datang ke Singapura ialah dari Britain, Kanada, Denmark, Perancis, Itali, Belanda, Sepanyol dan Amerika Syarikat.
Sebelum ini, pintu negara tersebut buat kali pertama dibuka kepada rakyat asing selepas pandemik COVID-19, pada September lalu apabila membenarkan penumpang yang divaksin dari Brunei dan Jerman.
Seterusnya, Singapura akan membuka laluan kepada penumpang dari Korea Selatan pada 15 November depan. Ini adalah antara usaha untuk memulihkan perjalanan antarabangsanya.
“Singapura tidak dapat dikurung dan ditutup selama-lamanya,” kata Perdana Menterinya, Lee Hsien Loong ketika beliau mengumumkan sejumlah langkah di bawah strategi ‘Hidup Dengan COVID-19’ pada 9 Oktober lalu.
Malaysia-Singapura adalah jiran paling rapat dalam konteks hubungan rakyat kedua-dua negara selain ekonomi yang melibatkan komoditi, perdagangan serta sumber bahan mentah.
Bagaimanapun, Singapura masih belum membuka sempadannya kepada rakyat Malaysia untuk memasuki negara itu dan pada masa sama tegas melarang rakyatnya daripada melepasi Tambak Johor untuk ke Malaysia.
Kenapa kemasukan rakyat Malaysia masih belum dibenarkan?
Pada masa sama, kerajaan republik itu turut tidak membenarkan lebih 200,000 pekerja Malaysia di sana merentas sempadan untuk pukang ke negara ini. Mereka bekerja dalam pelbagai sektor dan tenaga mereka penting bagi menjana kelangsungan ekonomi Singapura.