JOHOR BAHRU, 6 Feb: Polis menahan seorang lelaki memandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) ketika cuba melarikan diri bagi mengelak daripada melalui Sekatan Jalan Raya (SJR) di Kilometer 35 Jalan Johor Bahru-Gelang Patah-Pendas.

Lelaki terbabit ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri ketika menjalankan SJR Op Selamat 17.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek ditahan ketika cuba melarikan diri dengan membuat pusingan U secara berbahaya bagi mengelak dari melalui SJR yang dibuat.
Menurutnya, hasil pemeriksaan fizikal dan kenderaan tidak menjumpai sebarang kesalahan, tetapi didapati positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC) setelah ujian urin hasil pemeriksaan lanjut Bahagian Narkotik.
“Suspek ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Mengulas mengenai Op Selamat 17/2022, Dzulkhairi berkata, seramai 160 orang dan 127 kenderaan telah diperiksa dalam operasi tersebut.
Ujarnya, sebanyak 116 saman POL 257 dikeluarkan melibatkan kesalahan berkaitan nombor pendaftaran, ubah suai struktur kenderaan, cermin sisi, tiada lesen memandu, ekzos, Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan tiada insuran kenderaan.
“Masyarakat seharusnya sedar bahawa jenayah membawa padah dan perbuatan jenayah tidak selamanya terlepas kerana sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua,” katanya.