JOHOR BAHRU, 6 Mac: Perikatan Nasional akan memperjuangkan setiap peneroka Felda di seluruh negara diberi hak milik kekal terhadap tanah diusahakan masing-masing yang berstatus pajakan 99 tahun dan kini berbaki kira-kira 30 tahun.
Ketua Penerangan Perikatan Nasional Johor, Mohd Solihan Badri berkata, penganugerahan hak milik kekal kepada 112,635 peneroka adalah pernyataan terima kasih negara bagi menghargai komitmen dan pengorbanan mereka meneroka hutan untuk menanam benih kelapa sawit sehingga menghasilkan komoditi eksport utama negara sejak tanah rancangan pertama diwujudkan pada 1958.
Beliau menegaskan, Perikatan Nasional melihat langkah memberi hak milik kekal tanah juga akan menokok keluasan tanah milik tetap di kalangan orang Melayu. Malahan kepentingan tanah itu terjaga dan boleh dilindungi dengan lebih baik jika dikategorikan sebagai Tanah Rezab Melayu.
“Apabila Perikatan Nasional mendapat sokongan padu dan menubuhkan kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini, kami akan memperjuangkan supaya proses menyerahkan hak milik itu kepada peneroka atau waris, dilakukan segera memandangkan banyak kawasan tanah Felda kini tempoh pajakannya sudah melebihi 60 tahun.
“Malah untuk menjamin proses ini boleh disegerakan, kami akan berunding dengan Kerajaan Persekutuan bagi mencari jalan membantu peneroka melunaskan baki premium tanah masing-masing supaya proses memindahkan geran hak milik kepada status hak milik kekal boleh dilakukan segera,” katanya dalam satu kenyataan.
Namun Mohd Solihan sekali lagi menekankan, asas kepada usaha ini adalah sokongan rakyat Johor khususnya kalangan komuniti Felda sendiri untuk memenangkan calon-calon Perikatan Nasional dan seterusnya melayakan parti menerajui kerajaan Negeri Johor.
“Selepas itu, kami akan segera memulakan tugas melaksanakan Ikrar Perikatan Nasional untuk kepentingan, keprihatinan serta kemakmuran rakyat Johor menerusi 8 tunjang utama.
“Ini termasuk menerusi strategi mensejahterakan komuniti Felda di negeri ini yang turut melibatkan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan serta Felda khususnya,” katanya.
Felda tertakluk kepada Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1967 dan akta ini perlu disemak dan kaji semula khususnya bagi melonggarkan atau mengenepikan halangan bagi sebarang urusan berkaitan tanah itu termasuk urusan jual beli, pindah milik, gadaian, sewaan, hibah dan wasiat melainkan mendapat kebenaran bertulis daripada Felda.
“Bagaimanapun, kami difahamkan setakat ini tiada kelulusan berkaitan semua urusan itu pernah dibenarkan oleh Felda,” katanya.
Untuk rekod, keluasan tanah Felda adalah 351,000 hektar yang melibatkan 112,635 peneroka yang mendiami 317 tanah rancangan itu di seluruh negara. Di Johor, 35 kawasan Felda terletak dalam Felda Wilayah Segamat manakala 44 lagi dalam Felda Wilayah Johor Bahru.
Justeru, Perikatan Nasional mahu memperjuangkan perkara ini khusunya pindaan dan penambahbaikan kepada GSA kerana ini soal yang melibatkan pewarisan harta pusaka peneroka Felda dapat diwarisi generasi seterusnya seiring dengan jasa dan kegigihan selama ini mengusahakan tanah tersebut.
“Komitmen Perikatan Nasional berhubung pemberian hak milik kekal tanah yang diusahakan oleh peneroka Felda ini bukan omong-omong kosong.
“Buktinya, Kerajaan Perikatan Nasional yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin, tahun lalu bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion, selain memperuntukan RM400 juta bagi membantu peneroka menghapuskan faedah hutang kebun peneroka serta penerbitan sukuk yang dijamin oleh kerajaan berjumlah RM9.9 bilion bagi menyusun semula operasi dan pengurusan Felda,” katanya.
#DemiBangsaJohor