PAGOH, 4 Feb: Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) memohon Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempermudahkan urusan mengundi bagi pengundi berada di luar kawasan.
Perkara itu adalah antara ketetapan dibuat hasil mesyuarat ARMADA Pusat dengan ARMADA Negeri Johor bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ketua ARMADA Nasional, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, SPR juga perlu memperluaskan undi pos yang sebelum ini ditawarkan kepada pengundi menetap di Singapura, kepada mereka berada di negara lain.
“Pengundi di luar kawasan lain seperti Sabah dan Sarawak atau lokasi yang terpencil juga harus diberikan peluang. Ini termasuklah kemudahan untuk mengundi di Pejabat SPR atau Pejabat Daerah yang terdekat, bergantung kepada kesesuaian logistik.
“Untuk jangka sederhana dan panjang, SPR perlu menggunakan teknologi terkini bagi mempermudahkan proses mengundi termasuk menggunaan opsyen bagi mengundi dalam talian,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat antara ARMADA Pusat dan ARMADA Negeri Johor di sini, hari ini.
Wan Ahmad Fayhsal berkata, peratusan keluar mengundi yang tinggi penting agar mandat rakyat yang jelas dapat dicapai tidak seperti diharapkan oleh sesetengah pihak yang ingin menafikan hak rakyat.
Selain itu, katanya, SPR dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) harus mempertimbangkan kelonggaran SOP berkempen khususnya untuk ceramah umum dan rayuan undi rumah ke rumah selari dengan transisi fasa pandemik kepada endemik bagi wabak COVID-19.
Ditanya sama ada wujud kekangan ARMADA mendekati golongan muda jika SOP dikeluarkan SPR sama seperti PRN Melaka dan Sarawak, beliau akui jika masih berpegang kepada SOP sama, ia menyukarkan sayap parti itu untuk menyantuni pengundi muda.
Bagaimanapun, ujarnya, kerajaan khususnya Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) diseru memberi laluan kepada semua parti-parti politik yang bertanding untuk berbahas.