KOTA ISKANDAR, 10 Mac: Kerajaan perlu memastikan semua negara jiran bekerjasama untuk membuka sempadan masing-masing bagi memastikan pembukaan sempadan Malaysia pada 1 April ini, memberi impak kepada kerancakan semula ekonomi domestik.
Calon Perikatan Nasional N49 Kota Iskandar, Samsudin Ismail berkata: “Usaha pembukaan sempadan ini hanya akan berjalan lancar dan memberi manfaat sekiranya disambut baik oleh negara-negara jiran. Perdana Menteri harus memastikan kerjasama membuka sempadan ini dapat dilaksanakan.”
Beliau berkata, keputusan membuka semula sempada negara dan menukar status pandemik COVID-19 kepada endemik mampu mempercepatkan proses pemulihan ekonomi rakyat Johor yang terjejas teruk akibat penutupan sempadan khususnya Singapura dan Indonesia.
“Pembukaan sempadan ini tidak lain tidak bukan, demi kelangsungan pembangunan rakyat Johor.
“Bergeraknya semula sektor pelancongan dan perkhidmatan selain perniagaan dua hala serta perdagangan dan pelaburan yang akan masuk semula ke Johor akan merancakkan pelbagai kegiatan hasil pembukaan sempadan ini.
“Pelancong asing akan berbelanja berbilion ringgit di Johor Bahru mahupun daerah lain di seluruh Johor,” katanya.
Sementara itu, Samsudin mendesak pihak berkuasa tempatan (PBT) mempertimbangkan semula kadar sewa tapak bazar Ramadan yang telah dinaikkan dengan mengambil kira peniaga masih lagi terkesan dengan pandemik COVID-19.
“Perkara ini tidak wajar berlaku kerana jika kadar sewa dinaikkan, ia menyebabkan kos perniagaan menjadi lebih tinggi sehingga peniagan dan pelanggan terpaksa menanggungnya.
“Ketika saya dan petugas Perikatan Nasional turun menyantuni masyarakat Kota Iskandar, kami menerima aduan berkenaan kadar sewa tapak bazar Ramadan 2022 telah meningkat dan hal ini sekali gus menyebabkan kos perniagaan menjadi lebih tinggi.
“Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana ekonomi rakyat masih lagi terkesan dengan pandemik COVID-19. Rakyat sedang berjuang untuk bangkit semula dari kesan buruk COVID-19,” katanya.
Samsudin berkata, dalam Ikrar Perikatan Nasional yang diumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin, sekiranya dapat membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini, Perikatan Nasional berikrar untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat dengan sewaan tapak niaga PBT percuma selama 5 tahun dan lesen PMKS juga dikecualikan pembayaran selama 5 tahun.
“Di sini, saya merayu dan memohon supaya PBT mempertimbangkan semula kadar sewa tapak bazar yang tinggi ini.
“Ramai yang susah. Ada juga yang baru nak bangkit semula tetapi kenaikan kos tapak sewa ini akan menjadi bebanan pula kepada mereka.
“Tinggi harapan saya supaya pihak berkuasa dapat mempertimbangkan semula isu kos kadar sewa tapak bazar yang meningkat ini,” katanya.
#DemiBangsaJohor