JASIN: Perikatan Nasional (PN) akan melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Ahad ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurutnya, PN juga akan membentuk badan pemantau untuk membuat penelitian terhadap manifesto yang dilancarkan bagi pilihan raya tersebut.
“Lusa kita akan mempamerkan manifesto kita, ia sudah siap. Itu juga satu bukti kesungguhan kita. Dan kemungkinan besar kita akan bentuk satu badan pemantau yang nanti akan meneliti apa yang kita sebutkan.
“Kerana kita bukan Pakatan Harapan. Yang kita tahu waktu Pakatan Harapan dahulu menjanjikan bulan dan matahari. Tapi, Tun Mahathir (Mohamad) waktu itu berkata bahawa manifesto itu tak mesti kita ikut dan patuh,” katanya ketika sidang media di Rumah Johor di sini, pada 12 November 2021.
Muhyiddin berkata, janji manifesto yang dibuat perlu ditunaikan kerana merupakan tuntutan agama sekali gus tidak boleh berbohong kepada rakyat Melaka.
“Saya kira rakyat Melaka tentu rasa lebih yakin bahawa kerajaan yang terbentuk nanti adalah kerajaan yang mereka boleh percaya.
“Kita akan buktikan kita ada keupayaan, kita ada kemampuan dan kita bersedia untuk memiku amanah. Sebab itu saya minta sekali lagi rakyat Melaka bagi peluang kepada PN,” katanya.