JOHOR BAHRU, 23 Nov: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu.
Selain mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN), beliau memberitahu PN akan terus memberikan perkhidmatan kepada rakyat.
“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua jentera dan rakyat yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam memberi sokongan kepada saya serta semua calon-calon PN dalam PRN Melaka.
“Kalah menang adat pertandingan. Insya Allah, PN akan terus memberikan perkhidmatan sebaik mungkin kepada rakyat. Tahniah kepada BN atas kemenangan ini. Moga dapat laksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan sebaik mungkin,” katanya menerusi hantaran dimuatnaik dalam laman Facebooknya, kelmarin.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 lalu, Mohd Rafiq mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput menewaskan calon BN dan PAS.
Bagaimanapun, pada PRN Melaka baru-baru ini, beliau yang merupakan calon PN bagi kerusi DUN Telok Mas tewas dalam pertandingan empat penjuru melibatkan calon BN, Pakatan Harapan (PH) dan Bebas.