OHOR BAHRU, 10 Feb: Polis Johor menahan empat lelaki tempatan kerana disyaki terlibat dalam kejadian bunuh di tepi Jalan Dato’ Onn, Mersing, pada 3 Februari lalu.
Ketua Polis Johor, Dato’ Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua tangkapan berusia antara 31 hingga 33 tahun.
“Kes pembunuhan berlaku iaitu seorang lelaki tempatan telah dipukul oleh beberapa orang, mungkin rakan dan sebagainya. Menyebabkan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian.
“Hasil daripada tindakan tersebut, dalam masa yang singkat pihak polis telah membuat tangkapan terhadap tiga lelaki pada hari sama, dan seorang lagi pada keesokan hari,” katanya pada sidang media di IPK Johor, di sini hari ini.
Kamarul Zaman berkata, hasil daripada tangkapan menunjukkan mereka didapati terlibat dan beberapa barang kes digunakan untuk melakukan perbuatan tersebut juga telah dirampas.
“Kes ini berjaya diselesaikan dalam tempoh 24 jam. Saya mengucapkan tahniah kepada pihak Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Johor kerana dapat menghasilkan hasil siasatan yang lengkap dan menyelesaikan kes pembunuhan ini dalam masa yang singkat,” katanya.
Kesemua tangkapan terbabit kini sedang ditahan reman bagi siasatan lanjut, dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.