TANGKAK, 14 Dis: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Johor merampas minuman keras bernilai RM 49,049.03 dalam satu serbuan Op. Kontraban di Kampung Teratai Bukit Serampang, dekat Ledang, di sini, awal pagi semalam.
Timbalan Komandernya, Superintendan Noor Azman Jamal berkata, serbuan itu dilakukan oleh sepasukan anggota PPM Wilayah Dua, Johor dan dibantu PPM Wilayah Dua, Muar kira-kira jam 2 pagi hasil maklumat awam.
“Pasukan serbuan telah menahan tiga orang lelaki dewasa tempatan berumur 18 hingga 32 tahun dan telah merampas sejumlah 468.92 liter minuman yang disyaki tidak mempunyai cukai kastam bernilai RM49,049.03.
“Turut dirampas, peralatan untuk memproses arak dan sebuah kenderaan jenis Toyota Avanza yang dipercayai digunakan dalam sindiket pengedaran arak seludup tersebut. Anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM 76,049.03,” katanya seperti dipetik dari laman Facebook PPM Wilayah Dua, hari ini.
Noor Azman berkata, tangkapan dan rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967, Akta Eksais 1976 dan Akta Memperbaharui undang-undang (penghapusan samsu gelap).
“Pasukan Polis Marin Wilayah Dua, sentiasa menyeru orang ramai untuk menyalurkan semua maklumat kegiatan jenayah termasuk penyeludupan rokok, dadah, PATI dan lain-lain.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan terus melalui talian telefon 07-2372222,” katanya.