JOHOR BAHRU, 26 Jan: Polis Johor sudah bersiap sedia untuk melakukan penugasan sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ketua Polis Johor, Dato’ Kamarul Zaman Mamat berkata, dianggarkan kira-kira 11,000 pegawai dan anggota terlibat dalam penugasan pada pilihan raya itu.
Menurutnya, Polis Johor masih menantikan pengumuman daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengatur gerak kerja ketika pilihan raya.
“Kita sedang merancang jumlah pegawai dan anggota yang diperlukan untuk PRN Johor.
“Memang kita sudah siap sedia. Dari segi jumlah, secara kasar Polis Johor akan menugaskan lebih kurang 10,000 ke 11,000 orang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, hari ini.
Kamarul Zaman berkata, Polis Johor juga akan mendapatkan bantuan pasukan dari Bukit Aman dalam usaha memastikan perjalanan pilihanraya berjalan dengan lancar.
“Saya yakin dan saya akan pastikan perjalanan PRN Johor akan berjalan dengan lancar, dan orang boleh keluar mengundi dengan aman dan damai,” katanya.
Selain itu, beliau memberitahu pihaknya telah bersetuju untuk mewujudkan satu pasukan khas bagi memantau platform media sosial sepanjang PRN Johor.
“Pasukan ini kita tubuhkan semasa pilihanraya ini hanya untuk memastikan orang awam mendapat maklumat yang tepat dan benar.
“Pasukan ini terdiri daripada pegawai dan anggota yang mahir dalam bidang teknologi maklumat,” katanya.