TANGKAK, 24 Feb: Kerajaan prihatin rakyat dan berintegriti adalah asas kepada manifesto Perikatan Nasional untuk ditawarkan kepada rakyat Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini, demikian digambarkan oleh Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau menyebut mengenai perancangan untuk menyediakan peluang pekerjaan, kemudahan dan pencapaian pendidikan serta kesihatan selain penyelesaian isu perumahan generasi kedua Felda serta kaedah menangani inflasi sekarang.
“Saya nak nyatakan bahawa kita akan cari jalan dan ikhtiar jangka pendek, sederhana dan panjang bagaimana hendak menguruskan hal inflasi, kos sara hidup dan barang-barang keperluan utama. Ini isu besar bukan saja di Johor malah seluruh negara.
“Saya akan bentuk satu jawatankuasa untuk melihat bagaimana semua isu-isu ini.
“Macam-macam tawaran akan kita buat untuk rakyat Johor dalam mana kita sediakan manifesto nanti,” katanya pada ceramah di Pentas Perikatan Nasional DUN Bukit Kepong di Felda Seri Ledang di sini, malam tadi.
Muhyiddin menegaskan, kerajaan Perikatan Nasional akan menggunakan cara dan pendekatan berbeza dalam mengurus keperluan rakyat serta menangani pelbagai isu yang berlaku sekarang berbanding dengan cara yang dilakukan kerajaan sekarang.
“Ini saya bagi jaminan. Saya akan bantu kerajaan Johor yang dipimpin Perikatan Nasional. Siapa jadi Menteri Besar itu bukan masalah. Kita akan bantu. Kita akan wujudkan pakar-pakar ekonomi yang akan menjadi penasihat mengenai apa Johor boleh buat dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
“Ini perlu satu perancangan yang rapi dan saya ada pengalaman apa peringkat sekalipun untuk membantu Johor supaya menjadi sebuah negeri yang berjaya,” katanya.
Turut hadir Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan; dan Ketua Penerangan PAS Pusat, Senator Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin.
Beberapa hari lalu, Wan Saiful menggambarkan manifesto Perikatan Nasional akan diumumkan selepas pengumuman calon Perikatan Nasional di Johor Bahru, petang ini.