JOHOR BAHRU, 11 Jan: Selepas kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas berikutan kematian wakilnya, Dato Haji Osman Sapian, pada 21 Disember lalu, timbul ura-ura DUN Johor akan dibubarkan kerana kelebihan hanya satu kerusi di pihak kerajaan.
Spekulasi itu tambah panas, apabila Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad, pada 25 Disember lalu berkata kerajaan negeri akan memantau keadaan semasa termasuk meneliti keperluan untuk mengadakan PRN berikutan mempunyai kelebihan hanya satu kerusi di DUN Johor.
Kekosongan itu pada awalnya hanya mencetuskan jangkaan bahawa akan berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) di DUN Kempas tetapi Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat ketika itu tampil berkata, tiada PRK bagi mengisi kekosongan kerusi DUN Kempas.
Sehari dua ini, desas-desus DUN Johor hendak dibubarkan, muncul lagi. Sekali lagi isu majoriti di DUN Johor dengan kelebihan satu kerusi di pihak kerajaan dijadikan alasan untuk mencetuskan spekulasi sama. Malah ada pihak yang menggambarkan tarikhnya adalah pada 15 Januari ini.
“Tunggu lepas 15 Januari,” kata ringkas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Johor, Mohd Solihan Badri ketika diminta mengulas ura-ura tersebut.
Siapa yang sengaja mengumpan atau memprovokasi perkara ini? Atau, apakah spekulasi ini dicetuskan bagi memesongkan perhatian ramai? Ataupun, memang ada pihak yang mahu PRN Johor berlaku.
Infojohor.com.my sekali lagi meminta ulasan Speaker DUN Johor untuk perkembangan kali ini. Suhaizan berkata, kerajaan negeri sekarang yang diketuai UMNO masih ada kelebihan satu undi.
“Selama ini pun kerajaan bertahan dengan majoriti yang nipis dan tiada sebarang masalah berlaku. Tempoh penggal pun masih ada satu tahun lebih lagi.
“Tiada sebab yang jelas untuk DUN dibubarkan di tengah-tengah keperitan rakyat menghadapi pandemik COVID-19,” katanya.
Beliau turut memetik contoh pada 2004, Kerajaan PAS di Kelantan hanya ada kelebihan satu kerusi iaitu 23 yang diwakili parti itu manakala 22 kerusi diwakili UMNO dan Kerajaan Kelantan boleh bertahan sehingga hujung penggal ke Pilihan Raya Umum 2008.
Mengulas perkembangan sama, Ketua BERSATU Bahagian Parit Sulong, Datuk Aris Samsuddin berkata, selepas mencapai kejayaan PRN Melaka, UMNO melihat ketika ini adalah peluang untuk merampas Johor.
“Jika ini berlaku, satu pilihan raya sengit akan berlaku. Tetapi apapun ketika UMNO ada kelebihan dari segi jentera terutama setelah mereka menguasai Johor dengan memonopoli jawatan ketua kampung dan ahli majlis.
“Kewajaran pilihan raya itu ada tetapi dalam situasi sesetengah tempat banjir dan COVID-19 masih ada, mungkin ada pertimbangan lain,” katanya.
Justeru, semua pihak wajar menamatkan spekulasi ini dengan kenyataan Hasni yang spekulasi PRN itu berlalu sebagai khabar angin dan tanda tanya.
Katanya, beliau tidak pernah membuat sebarang keputusan berhubung isu PRN melainkan melihat majoriti satu kerusi sebagai elemen yang perlu dilihat oleh kerajaan.
Keutamaan sekarang adalah menyantuni rakyat, dengan membantu sebahagian mereka yang kini terjejas akibat banjir di samping menanggung impak COVID-19 yang masih membelenggu kehidupan seluruh rakyat mahupun komuniti perniagaan dan industri.
Bak kata Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin: “Yang penting adalah rakyat. Kita parti yang mendukung dan prihatin masalah rakyat.”