SAYA mengikuti rapat perihal individu mendakwa sebagai ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang memilih untuk meninggalkan parti khusus menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Berdasarkan pemerhatian, gerakan meninggalkan BERSATU ini tidak lebih daripada naratif untuk melemahkan semangat dan perjuangan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Jika dikenal pasti sekali pun, sebilangan mereka yang bertindak keluar parti ini adalah kumpulan yang telah meninggalkan parti lama untuk menyertai BERSATU, lebih-lebih lagi pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Kini, kumpulan ini mendakwa tindakan mereka ‘tidak dipaksa’ oleh mana-mana pihak. Mungkin ada benarnya kerana ia berlaku atas ‘rasa kecintaan yang menebal’ terhadap parti asal masing-masing.
Mereka bukan hanya menjadikan BERSATU tempat persinggahan, tetapi lebih daripada itu. Dalam erti kata lain, mereka tidak ubah seperti ‘trojan horse’ dalam filem ‘Troy’ – berjaya menyelinap masuk organisasi dan sistem pentadbiran BERSATU sebaik diterima masuk parti, kemudiannya menjadi ‘duri dalam daging’ sebelum bertindak keluar serta-merta.
Sudahlah tinggalkan parti kononnya atas alasan sukarela, tetapi mencemuh dan mentohmah pula BERSATU yang telah memberikan ruang dan peluang kepada mereka sebelum ini.
Penceritaannya sama – soal hala tuju dan kepimpinan menjadi konon asbab mereka meninggalkan parti. Kumpulan ini, sememangnya hanya menunggu untuk bertindak.
Hanya menantikan masa dan ‘command’ untuk mereka bertindak dengan agenda asal iaitu menampakkan BERSATU memiliki kepimpinan yang lemah dan hilang arah tujuan.
Ini suatu ‘perang saraf’ taraf biasa-biasa. Mungkin, akan ada lagi mereka yang mendakwa sebagai ahli keluar parti, sama ada di peringkat bahagian atau cawangan lain dalam masa terdekat ini.
Sudah tentu, strategi dan taktik ini tidak lebih untuk menyerang dan memprovokasi BERSATU, yang sebenarnya dilihat jauh diyakini pada mata rakyat ketika ini.
Parti lawan sudah tentu akan mengasak menggunakan media konvensional dan media sosial sebagai senjata dalam memberikan tekanan terhadap BERSATU.
Bagaimanapun, propaganda ‘ahli hilang kepercayaan’ ini tidak boleh dipandang enteng oleh BERSATU kerana sedikit sebanyak memberi kesan kepada persepsi umum terutama pengundi.
BERSATU tidak boleh bersikap ‘syok sendiri’. Sebaliknya, terus perkuatkan saf melawan dengan lebih agresif menerusi susun atur perang saraf yang lebih dinamik, progresif dan efektif.
Segmentasi kumpulan sasar bagi penerima mesej dan maklumat politik perlu dikenal pasti dan diselaraskan agar segala maksud disebar luas berjaya mencapai matlamat.
Propaganda balas atau ‘counter propaganda’ juga amat penting bagi memperbetulkan segala persepsi atau ‘damage’ yang berlaku dengan segera.
Ambil contoh, jika sesebuah bahagian atau cawangan di mana ahlinya keluar parti, berikan ulasan dengan fakta, tuntas dan pantas perihal tindakan kumpulan ini.
Justeru, bagi mereka yang telah keluar meninggalkan parti, diucapkan ‘Selamat Maju Jaya dan Terima Kasih’. Sudah pasti ia tidak ditangisi.
Perkembangan semasa politik BERSATU seharusnya menguatkan lagi iltizam dan semangat kepada keseluruhan ahli untuk bekerja kuat bagi memenangkan Perikatan Nasional pada PRN Johor ini.
Usah ‘koyak’ dengan propaganda perang saraf lapuk ‘trojan horse’ pihak lawan, tetapi kentalkan diri menghadapi cabaran mendatang dengan roh perjuangan yang membara.
Menariknya, PRN Johor ini bakal menyaksikan pertembungan banyak penjuru di mana antara parti lawan kepada BERSATU dilihat memiliki strategi serta kelebihan masing-masing. Sebagai pengakhirannya, tulisan ini tidak lebih satu pandangan ikhlas daripada seorang rakyat marhaen yang juga merupakan ‘kelompok.atas pagar’ pada PRN Johor.
Wak Jambang
Pengamat Politik Anak Johor
Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis. Segala pandangan dalam artikel ini tidak ada kena mengena dengan pendirian Infojohor.com.my sebagai penyiar.