PETALING JAYA, 26 Nov: Perbincangan lanjut parti komponen Perikatan Nasional (PN) bersama komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 2021, akan diadakan bagi menentukan strategi serta persiapan menghadapi pilihan raya itu, 18 Disember depan.
Setiausaha Agung BERSATU, Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkata, perbincangan itu bagi menentukan persiapan PRN Sarawak 2021 sekali gus untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU yang dipengerusikan oleh Presiden, YB Tan Sri Muhyiddin bin Yassin, semalam.
Sementara iutu, GPS belum menerima sebarang jemputan daripada BERSATU bagi membincangkan PRN tersebut. Pengerusinya, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata beliau perlu meneliti jemputan itu sebelum membuat sebarang keputusan.
Hamzah berkata, mesyuarat MPT turut membincangkan analisis keputusan PRN Melaka pada 20 November lalu dan keputusan tersebut membuktikan PN adalah parti yang mempunyai pengaruh serta sokongan kukuh dalam kalangan pengundi PRN Melaka.
Bagi PRN Melaka, komponen PN menampilkan 15 calon BERSATU, lapan dari PAS manakala GERAKAN lima.
“BERSATU merakamkan ucapan terima kasih kepada pengundi PRN Melaka yang telah mengundi dan memberi sokongan kepada calon-calon daripada BERSATU dan parti komponen PN lain iaitu PAS dan GERAKAN. Sokongan ini adalah manifestasi penerimaan baik rakyat terhadap PN dan parti-parti komponennya,” katanya dalam satu kenyataan media.
Susulan itu, BERSATU telah mengenalpasti kelemahan semasa PRN Melaka lalu dan akan mengambil langkah penambahbaikan dengan segera.