JOHOR BAHRU, 9 Mac: Veteran politik, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik percaya Bangsa Johor tidak boleh menerima pimpinan yang terlibat dengan salah guna kuasa dan rasuah.
Menurutnya, segala kemungkaran dilakukan oleh pimimpin-pemimpin pesaing politik Perikatan Nasional tiada penjelasan, sebaliknya mereka yang terlibat hanya mengatakan ia sebagai fitnah.
“Sudah masuk dalam mahkamah, (dan) kata fitnah. Kita boleh baca setiap ayat penghakiman itu dalam mahkamah.
“Tengok satu persatu macam mana penipuan, rompakan, (dan) samunan yang dibuat itu dengan begitu sistematik,” katanya dalam satu temubual eksklusif di Bilik Gerakan Utama PN, di sini hari ini.
Abdul Rahim berkata, sehingga kini, tiada satu cawangan mahupun Bahagian UMNO berani menyatakan hendak membanteras rasuah dan mahu ‘nyahkan’ pemimpin yang terjebak dengan penyelewengan serta kleptorasi.
“(Tiada yang mengatakan) kami hendakkan pimpinan yang baru. ‘ Seorang pun tiada yang cakap. Tak berani bercakap.
“Hendak perjuangkan agama, bangsa dan tanah air, awak tak boleh bercakap untuk membanteras kemaksiatan dan kemungkaran ini. Perjuangan apa ini? Perjuangan ‘tahi kucing’,” katanya.
Atas sebab itu, beliau memberitahu memilih untuk berhijrah daripada UMNO kerana melihat tiada masa depan buat parti tersebut.
Ujarnya, rasuah telah merosakkan perjuangan asal UMNO diasaskan pengasas dan presiden (Yang DiPertua) pertamanya, Datuk Onn Jaafar.
“Semua perjuangan UMNO diasaskan oleh (Datuk) Onn Jaafar dulu cemerlang sampai zaman Tun (Dr.) Mahathir (Mohamad), (seterusnya) junam sekarang.
“Mungkin kali ini dengan izin Allah, kita perlukan satu parti baharu. Parti ini (UMNO) sudah tidak berdaya lagi. Parti ini sudah ada kanser. Parti ini, terjebak dalam kleptokrasi dan juga najis rasuah,” katanya.
Justeru, Abdul Rahim percaya Bangsa Johor boleh berfikir mengenai UMNO yang ada sekarang, serta diminta tidak emosional dalam berjuang.
“Bangsa Johor buat pilihan yang terbaik kerana Allah, bukan kerana Perikatan Nasional bukan kerana Muhyiddin, bukan kerana sesiapa. Kerana Allah, kita hendak parti baru.. Perikatan Nasional menerajui menggantikan parti yang telah buruk,” katanya.
#DemiBangsaJohor