Oleh Mohd Firdaus Yon
ISKANDAR PUTERI, 18 Nov: Kerajaan Negeri Johor mengumumkan pelbagai inisiatif di bawah Agenda Johor Berkebajikan bagi mengurangkan beban dan memulihkan mata pencarian rakyat dalam Belanjawan Johor 2022.
Menteri Besar, Dato’ Ir. Hasni Mohammad berkata, inisiatif pertama, sebanyak RM135 juta akan disediakan bagi pelaksanaan bantuan tunai dan RM90 juta digunakan bagi meneruskan program bantuan Kasih Johor.
“Kedua, pemberian wang tunai secara one-off kepada setiap orang pelajar sekolah rendah dan menengah yang berpendapatan dari keluarga RM3,001 ke RM7,000 akan diteruskan pada tahun hadapan.
“Ketiga, kerajaan negeri akan meneruskan pemberian peruntukan khas sebanyak RM5 juta kepada Yayasan Sultanah Rogayah dan RM7 juta kepada Yayasan Sultanah Fatimah,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2022 di Kota Iskandar di sini hari ini.
Hasni berkata, inisiatif keempat adalah sebanyak RM500,000 akan diperuntukkan untuk kebajikan sosial dan institusi.
Hasni berkata, untuk meringankan beban berkaitan kos pendidikan, kerajaan negeri akan memperuntukkan RM16.3 juta sebagai bantuan pendidikan kepada 7,574 pelajar yang kurang berkemampuan.
“Peruntukan sebanyak RM1.5 juta telah disediakan untuk Skim Bantuan Pendidikan. Bagi pinjaman pelajaran pula, sebanyak RM12.5 juta telah disediakan untuk inisiatif ini,” katanya.