MACHAP: Sup kambing, puyuh dan ayam kampung air kelapa adalah ‘killer menu’ yang ditawarkan di D’Anjung Puyuh sekali gus menjadi daya tarikan dan mendapat sambutan luar biasa ratusan pelanggan restoran milik Haji Ahmad Jais Mohee, di Pekan Machap setiap hari.

Sup air kelapa adalah inovasi beliau berdasarkan rencah terpilih yang diperkenalkan oleh isterinya, seorang keturunan Kemboja. “Ada campuran rempah-rempah istimewa untuk dijadikan rencahnya. Selain diakui sedap, rasa sup air kelapa memang unik dan hanya yang pernah makan, tahu perbezaannya,” kata beliau kepada Info Johor.
Haji Ahmad Jais berkata, selepas dimasak, sup daging kambing, puyuh atau ayam kampung itu akan dimasukkan semula ke dalam kelapa untuk dinikmati pelanggan. Sedanya pasti terasa ‘berasap’! Sekurang-kurangnya 200 biji kelapa digunakan setiap hari.

Menurut beliau, kelebihan daging puyuh adalah ‘panas’ dan sangat baik untuk badan. Soal bekalan daging puyuh tidak menjadi masalah kerana Haji Ahmad Jais menternaknya sendiri pada skala komersial untuk dijadikan daging puyuh sumbat rempah dan lada hitam sejuk beku dengan jenama Puyuh Best JDT.

Untuk hidangan sup kambing dan ayam kampung air kelapa, pelanggan dikenakan bayaran RM12 manakala sup puyuh RM10. Pelbagai menu berasaskan burung puyuh ditawarkan di D’Anjung Puyuh. Maklumat lanjut boleh telusuri FB Puyuh Best JDT dan FB D’Anjung Puyuh.
Haji Ahmad berkata, buat masa ini pelanggan boleh membeli pelbagai masakan untuk dibawa pulang. Ini berikutan keadaan COVID-19 yang diasakan masih belum sesuai untuk beliau menerima kedatangan pelanggan untuk menikmati hidangan di restorannya.
Pada masa sama, kesempatan ini digunakan untuk mengubah suai dan menaik taraf restorannya bagi menyediakan kemudahan dan ruang yang lebih selesa untuk pelanggan. Ketika ini, restorannya boleh menampung sehingga 70 pelanggan pada satu masa.
“Insya Allah jika keadaan mengizinkan, D’Anjung Puyuh akan dibuka semula pada awal Januari 2022,” katanya sambil memberitahu pelanggannya datang sejauh Kuala Lumpur dan Perak.
D’Anjung dibuka seawall jam 6 pagi bagi pelanggan yang mahu menikmati sarapan dan ditutup jam 5 petang. Sebelum PKP, restoran itu beroperasi sehingga jam 10 malam.