JOHOR BAHRU, 7 Mac: Tindakan bekas wakil rakyat meninggalkan parti merupakan perkara biasa terutama ketika musim pilihan raya.
Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, tindakan tersebut tidak sekali-kali merencatkan perjalanan kempen Perikatan Nasional (PN).
“Yang keluar daripada parti, yang meninggalkan perjuangan parti, ini perkara biasa. Dekat-dekat pilihan raya, baru nak keluar.
“Ada yang tak dapat jadi calon, baru keluar. Ada yang tak dapat apa dia minta, baru keluar. Jadi, ini perkara biasalah.
“Bagi saya kalau sekiranya duduk dalam parti semata-mata sebab nak jadi calon, memang Alhamdulillah. Sila keluar,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PN, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan seorang bekas ADUN Johor keluar parti dan kembali kepada UMNO seperti dilaporkan media, semalam.
Wan Saiful berkata, setakat ini jelas menunjukkan sokongan rakyat termasuk di Negeri Johor kepada Perikatan Nasional semakin kuat.
Beliau juga berkeyakinan rakyat melihat tindakan bekas ADUN terbabit sebagai suatu perkara yang baik kepada BERSATU.
#DemiBangsaJohor