IKAN toman adalah spesies terbesar dalam famili Channa atau snakehead dan bersaudara dengan haruan. Ikan air tawar yang boleh mencapai saiz mega berbelas kilogram itu menjadi idaman aktivis pancing tegar yang mengidamkan pertarungan sengit.

Nur Istiqlal Liyadi yang tinggal di Kapuas Hulu, Putussibau Kalimantan Barat adalah pemancing tegar yang kerap memburu toman dan kerandang atau toman batik di kawasan paya dan tanah basah di pedalaman daerahnya.

Terbaharu, beliau yang terkenal dengan gelaran Lee Pemancing Ulung Dregd memancing toman di sebuah danau di daerah Semitau. Dengan menggunakan umpan softfrog x-lure, beliau berjaya menumpaskan toman seberat 3 kilogram.

Sungai Kapuas di Semitau adalah sungai terpanjang di Indonesia. Dari muara hingga ke hulunya dihuni ratusan spesies ikan dan hidupan sungai lain seperti baung, belida, tapah dan udang galah.
Jauh ke arah hulu, ia dihuni ikan gred A yang bersisik seperti kelah dan sebarau.